Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menubuhkan jawatankuasa khas di peringkat kebangsaan yang dinamakan Jawatankuasa Memperkasa Mahkamah Syariah (JKMMS).

Ketua Pengarah Jakim Datuk Othman Mustapha dalam kenyataan hari ini berkata penubuhan jawatankuasa khas itu adalah susulan arahan daripada mesyuarat Jemaah Menteri pada 4 Ogos lalu.

"Jakim yang diberi mandat untuk mengurusetiakan JKMMS ini bertanggungjawab melaksanakan cadangan-cadangan yang terkandung dalam arahan tersebut bagi tujuan memperkasakan sistem perundangan syariah secara keseluruhan selaras dengan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan, katanya.

Menurut Othman, JKMMS akan dipengerusikan oleh Tan Sri Dr Yusof Noor dan akan mempunyai dua jawatankuasa pelaksanaan iaitu Jawatankuasa Pemandu dan Jawatankuasa Induk.

"Pemilihan Yusuf sebagai pengerusi adalah atas dasar pengalaman dan ketokohan beliau yang meluas dalam pelbagai bidang,"katanya.

Beliau berkata jawatankuasa ituakan dianggotai oleh tokoh-tokoh negara yang pakar dalam pelbagai bidang dan sebahagian daripada mereka bakal mengetuai enam kluster di bawah JKMMS.

Kluster itu ialah Pengharmonian Antara Undang-Undang Sivil dan Undang-Undang Syariah; Cadangan Pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 [Akta 355]; Pengurusan & Penstrukturan Mahkamah Syariah; Latihan Hakim & Pegawai Syariah; Pendidikan Undang-undang Syariah dan Hal-ehwal berkaitan Peguam Syarie.

"Keahlian ahli-ahli jawatankuasa berkenaan telah dikenal pasti dan pelantikan rasmi akan dibuat dalam tempoh terdekat," katanya. - BERNAMA