CAMERON HIGHLANDS: Laluan Pos Betau-Lembah Bertam menghubungkan Pekan Ringlet dan Sungai Koyan yang mengalami runtuhan sebelum ini dijangka dibuka semula untuk semua kenderaan pada Julai nanti.

Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Ramli Mohd Nor berkata, buat masa ini kerja-kerja untuk membaik pulih laluan berkenaan sedang giat dijalankan dan hanya motosikal dibenarkan melalui jalan terbabit.

"Kita telah mendengar taklimat daripada pihak bertanggungjawab mengenai kerja-kerja baik pulih laluan ini dan mereka maklumkan ianya akan siap dalam tempoh dua bulan ini.

“Kerja-kerja baik pulih akan dilaksanakan supaya komunikasi di antara Jalan Felda Sungau Koyan ke Ringlet, Cameron Highlands dapat siap sepenuhnya serta kenderaan bebas untuk melaluinya," katanya  ketika lawatan ke laluan FT102 Seksyen 18.650 – 19.650, Jalan Pos Betau - Lembah Bertam di sini, pada Ahad.

Turut hadir, Pegawai Daerah Cameron Highlands, Syed Ahmad Khairulanwar Alyahya Syed Abdul Rahman, dan Jurutera Daerah, Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Cameron Highlands, Noor Irwan Othman.

Beliau berkata, penunggang motosikal yang melalui jalan tersebut setiap hari tidak perlu bimbang kerana pihaknya sentiasa memantau kemajuan projek supaya ia dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan.

“Kita akan membuka satu lorong semasa kerja-kerja baik pulih dibuat  yang akan digunakan oleh penunggang motosikal. Kalau ikutkan tempoh tujuh bulan diperlukan bagi kerja pembaikan sepenuhnya," jelasnya.

Sebelum ini laluan FT102 Seksyen 18.650 – 19.650, Jalan Pos Betau - Lembah Bertam diarahkan tutup sepenuhnya oleh pihak JKR berkuat kuasa 30 April sehingga 30 Mei 2022 berikutan struktur jalan yang mendap di Seksyen 19.150 namun dilanjutkan sehingga Julai ini.

Orang ramai yang ingin ke Cameron Highlands boleh menggunakan laluan alternatif iaitu laluan dari Tapah ke Ringlet; laluan dari Simpang Pulai; atau laluan dari Gua Musang ke Lojing.