Rancangan Kawasan Khas (RKK) gugusan Pulau Tioman bagi tempoh 10 tahun bermula 2020, meletakkan sasaran untuk membangunkan kemudahan jalan raya sepanjang 27 kilometer dari Kampung Mukut ke Kampung Salang di pulau peranginan itu bagi kemudahan penduduk sekitar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman Datuk Seri Mohd Johari Hussain berkata penduduk di pulau pelancongan itu memang amat mengharapkan pembinaan jalan raya berkenaan bagi memudahkan pergerakan mereka di kawasan itu.

"Kami juga berharap pelaksanaannya dapat dilakukan dalam cara yang holistik supaya tidak berlaku masalah pencemaran alam sekitar," katanya ketika ditemui selepas merasmikan program publisiti dan penyertaan awam draf rancangan kawasan khas (RKK) Pulau Tioman di sini, pada Selasa.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) PLANMalaysia Datuk Mohd Anuar Maidin dan Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas, Sistem Penyampaian Awam dan Inovasi negeri Datuk Seri Norol Azali Sulaiman.

Mohd Johari berkata satu lagi projek yang memang diharapkan penduduk ialah pembinaan marina atau mini pelabuhan di setiap jeti hentian, bagi memudahkan perjalanan keluar masuk bot kecil persendirian.

"Pembinaan marina ini dapat menyelesaikan masalah kesesakan di jeti sedia ada yang digunakan feri sebagai pengangkutan utama di sini bagi mengambil dan menurunkan penumpang, yang memuncak pada hujung minggu ekoran kedatangan pelancong," katanya.

Beliau berkata 88 projek dan program terdiri daripada 30 projek berimpak tinggi, 41 projek 'Entry Point' dan 17 program 'Quick Win' juga dikenal pasti untuk dilaksanakan pada RKK Pulau Tioman.

Katanya kerajaan juga membuka peluang kepada rakyat untuk memberikan maklumbalas pelaksanaan RKK itu menerusi program publisiti dan penyertaan awam yang berlangsung selama sebulan bermula 1 Ogos lalu.

"Kita memerlukan pandangan, maklumbalas, bantahan dan rayuan daripada pihak berkepentingan seperti penduduk, pertubuhan, badan persatuan, badan bukan kerajaan (NGO), pemaju dan sebagainya.

"Ini amat penting dalam memastikan pembangunan Pulau Tioman seiring dengan muafakat penduduk setempat yang menjadi nadi kehidupan di sini. Kita tidak mahu hak awam diketepikan, malah memberi peluang secukupnya kepada mereka," katanya.

-- BERNAMA