KUALA LUMPUR:Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan untuk menamakan semula Jalan Universiti di Petaling Jaya dengan nama Jalan Prof Diraja Ungku Aziz.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani dalam satu kenyataan memaklumkan,  pertukaran nama jalan tersebut akan dilaksanakan dalam kadar segera.

Menurut Mohamad Munir, Sultan Selangor berkenan mengabadikan nama tokoh tersohor, Prof Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid itu bagi mengenang jasa dan bakti Allahyarham dalam bidang pendidikan serta ekonomi Melayu semasa hayatnya.

"Untuk itu, baginda berkenan menerima menghadap anak Allahyarham, Dr Zeti Akhtar Aziz bagi menyampaikan hasrat baginda, sekali gus memutuskan pertukaran nama jalan berkenaan.

"Pemilihan Jalan Universiti untuk dinamakan semula kepada Jalan Prof Diraja Ungku Aziz adalah bertepatan kerana ia adalah pintu masuk utama ke pusat-pusat pengajian tinggi seperti Universiti Malaya, Universiti Islam Antarabangsa dan Universiti Mahsa," demikian katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook Selangor Royal Office hari ini.


BACA: Mengenang Ungku Aziz: Perjuangan, Melayu dan Islam sejati

Untuk rekod, Allahyarham Ungku Abdul Aziz pernah bertugas sebagai pensyarah di Universiti Malaya (Singapura) dari 1952 hingga 1961, seterusnya menjadi Dekan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya (Kuala Lumpur) bagi tempoh 1962 hingga 1965.

Jalan Universiti sepanjang 3.2 kilometer merupakan antara jalan utama menghubungkan Petaling Jaya dan Kuala Lumpur, dibina pada 1960.

Ungku Abdul Aziz meninggal dunia di Hospital Prince Court, Kuala Lumpur pada 15 Disember lalu.

Jenazah Allahyarham Ungku Abdul Aziz selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.