Tekanan politik ke atas Jalil, Dr Narimah, dan Wan Zul akan memberi mesej yang salah, dan menimbulkan krisis kepercayaan terhadap negara ini, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau merujuk kepada bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin, bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Pelaburan Nasional Berhad (PBN), Jalil Abdul Rasheed serta Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Dr Narimah Awin.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, ketiga-tiga individu berkenaan bukanlah tokoh dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP mahupun Parti Amanah Negara, namun mereka telah dikorbankan kerana tidak memenuhi selera politik kerajaan masa kini.

“Hanya untuk meletakkan dan memperkayakan dan memberi jaminan kedudukan yang lebih baik kepada ahli Parlimen. Ini yang kita kesalkan. Saya dari awal mengatakan saya tidak tolak kalau Ahli Parlimen itu juga seorang profesional dan teknokrat dan ada pengalaman.

“Tetapi kalau sekadar dilantik dengan elaun besar, ia tidak membantu. Lihat TNB sekarang ini. bil lektrik melonjak naik. Alasan sangat remeh iaitu kerana COVID kita gunakan lebih tetapi lonjakan itu terlalu tinggi, membebankan rakyat,” katanya sewaktu bersiaran secara langsung di laman Facebook beliau hari ini.

Petronas pada 6 Jun lepas mengumumkan persaraan Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkuatkuasa 30 Jun ini selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa Wan Zulkiflee telah dilantik sebagai Pengerusi Syarikat Malaysia Airlines Berhad (MAB) yang baharu.

Pada 15 Jun lepas, Jalil memaklumkan kepada Lembaga Pengarah PNB bahawa beliau telah meletak jawatan dari syarikat pengurus dana terbesar di Malaysia itu.

Pada 16 Jun pula, Ahli Parlimen Parit, yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Parit, Datuk Nizar Zakaria menggantikan Dr Narimah sebagai pengerusi baharu LPPKN.