Ketua UMNO Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos ditahan reman dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mengancam ahli DAP, Datuk Zaid Ibrahim.

Perintah reman itu diberikan oleh Majistret Umzarul An Nur Umar, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, selepas mendapatkan permohonan dari pihak polis.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Shaharuddin Abdullah mengesahkan penahanan reman itu.

Pengerusi Gabungan NGO Malaysia itu disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak memecahkan keamanan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil.

Jamal ditahan kira-kira 9 malam oleh sepasukan pegawai polis dari Polis Kontinjen Kuala Lumpur selepas selesai ucapan pengulungan Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).