Jambatan sementara Kampung Pulau Setelu menghubungkan Jalan Gua Musang-Jeli di sini, yang ditutup akibat ditenggelami air Sungai Nenggiri, dibuka semula kepada semua kenderaan mulai 6.30 petang Jumaat.

Sebelum jambatan itu dibuka selepas air sungai berkenaan surut, penduduk bergotong-royong membersihkan kayu hanyut tersangkut di atas jambatan berkenaan yang turut menghalang kenderaan.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Gua Musang, Mohd Yusalmi Yusoff berkata mereka mengambil masa kira-kira dua jam untuk membersihkan kayu tersebut.

"Tidak ada kerosakan pada jambatan itu dan berpuluh kenderaan yang terkandas sejak 9 pagi tadi mula melalui jambatan tersebut," katanya ketika dihubungi.

Jambatan sementara itu sering ditenggelami air setiap kali berlaku hujan lebat di kawasan hulu sungai berkenaan kerana dibina rendah dengan permukaan sungai.

Jambatan itu dibina bagi menggantikan jambatan asal yang roboh dilanda banjir besar pada 2014, manakala jambatan baharu masih dalam pembinaan.

-- BERNAMA