Lebih 15,000 penduduk dari lebih 20 kampung terputus hubungan selepas sebuah jambatan konkrit di Melaka runtuh.

Ia merupakan laluan utama menghubungkan kawasan Sungai Rambai, Melaka dengan daerah Tangkak, Johor runtuh.

Seorang penduduk, Mad Lozi Nemat, menceritakan semula detik cemas itu.

“Pelik juga lah... jambatan ini dah lama kita gunakan untuk ke seberang, nak ke Tangkak pun dekat.

“Kalau dah runtuh macam ni saya tak tahu la macam mana, mungkin jauh sikit. Saya ingat ada lah dekat 20km untuk ke Bukit Kangkar,” katanya.

Jambatan yang sudah berusia lebih 40 tahun itu merupakan laluan utama penduduk selain banyak lori yang membawa muatan berat, khususnya bagi mengangkut buah kelapa sawit melalui kawasan itu.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Azman Abas berkata, ia insiden pertama yang berlaku melibatkan jambatan lebih 40 tahun itu.

“Sini lori besar- besar..seperti lori simen, semua lalu sini. Macam nak pergi Tangkak dah dekat,” katanya.

Susulan insiden itu, penduduk terpaksa menggunakan laluan alternatif dengan berpusing jauh iaitu lebih 20 kilometer sekali gus mendatangkan kesusahan kepada rutin mereka.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Datuk Hassan Abd Rahman percaya insiden disumbang oleh projek tebatan banjir yang mula dilaksanakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sejak tiga tahun lepas.

Pada masa ini, kerja-kerja melaksana projek tebatan banjir sedang dilaksanakan di sekitar Sungai Kesang.

Dengan kejadian ini, katanya, pihak JPS perlu mengambil tindakan segera dan mengkaji semula kerja-kerja projek tebatan banjir di kawasan tersebut.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan akibat kejadian tersebut.