Pengguna jalan raya Gua Musang-Jeli yang menggunakan jambatan sementara Pulau Setelu di sini terputus hubungan apabila jambatan itu sekali lagi ditenggelami air sungai yang naik mendadak akibat hujan le­bat, pagi ini.

Jambatan sementara itu mula dinaiki air pada jam 8.36 pagi ini apabila hujan lebat berterusan di kawasan hulu sejak lewat malam tadi.

Air Sungai Nenggiri yang semakin naik dan melimpahi jambatan sementara menyebabkan berpuluh-puluh kenderaan terkandas dan terpaksa berpatah balik dengan menggunakan jalan alternatif lain.

Pentadbir Mukim Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Ahmad Kamizi Jalil berkata, pada tahun ini sahaja sudah 22 kali jamba­tan itu ditenggelami air sungai.

Tambahnya, setiap kali hujan lebat jambatan ini sering tenggelam dan memberi masalah kepada penduduk sejak jambatan kekal runtuh pada banjir besar penghujung Disember 2014 lalu.

Sementara itu, tinjauan di Kampung Batu Papan mendapati beberapa kawasan di pinggir sungai turut dinaiki air.

Namun, setakat ini tiada penduduk yang berpindah.