Tutup

Jangan ambil mudah soal perpaduan masyarakat majmuk - Gobind

Jangan ambil mudah soal perpaduan masyarakat majmuk - Gobind
Gobind ketika berucap pada Sambutan Rumah Terbuka Vaisakhi di Padang Merbok, Kuala Lumpur, hari ini. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia digesa supaya tidak leka dalam meneruskan usaha menjaga kepelbagaian budaya, agama dan bangsa, serta menyemai nilai murni dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, keunikan masyarakat Malaysia adalah sesuatu yang amat istimewa dan menjadi daya tarikan kepada warga seluruh dunia.

Menurutnya, pada masa sama, masyarakat Malaysia dan di seluruh dunia juga kini didepani dengan pelbagai ancaman dan cabaran terutama di alam maya.

"Saya ingin menegaskan bahawa kerajaan persekutuan komited dalam menangani isu-isu dan masalah-masalah yang bakal membawa impak yang negatif terhadap masyarakat berbilang kaum di negara kita," katanya berucap pada majlis sambutan Rumah Terbuka Vaisakhi peringkat kebangsaan di sini hari ini.
Vaisakhi menandakan permulaan musim menuai menurut kalendar masyarakat Sikh Punjabi.

Sementara itu, Gobind berkata, walaupun kerajaan memastikan media kekal bebas, ia bukan bererti fitnah dan berita palsu boleh disebar dengan niat jahat untuk memecahbelahkan perpaduan rakyat Malaysia.

Beliau berkata adalah menjadi tugas dan tanggungjawab rakyat untuk sama-sama membantu kerajaan menghalang perbuatan pihak yang cuba mengeruhkan perpaduan antara kaum dan keharmonian rakyat.
"Kerjasama antara kaum adalah kunci kepada kita dalam menangani dan menghadapi ancaman dan cabaran, dan tidak harus dipandang ringan atau diperkecilkan.

"Kepelbagaian rakyat Malaysia wajib dipertahankan dan diperkukuhkan demi masa depan yang lebih cerah dan makmur," katanya.

-- BERNAMA