Isu mengenai sebidang tanah di Kampung Datuk Keramat yang ingin dibangunkan dengan pangsapuri mampu milik dan Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (Rumawip) merupakan isu terpencil yang tidak harus diperbesarkan.

Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Mohd Razlan Muhammad Rafii berkata, kontroversi di tapak berkenaan hanya memungkinkan risiko pembangunan rumah mampu milik lain di sekitar ibu kota akan terbantut.

"Jangan besarkan isu tanah ini. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah memberi keputusan terbaik dan jalan penyelesaian kepada kontroversi tanah di Kampung Datuk Keramat berkenaan.

"Pembinaan dua status rumah iaitu pada harga RM200,000 dan RM500,000 merupakan konsep subsidi yang akan menguntungkan semua pihak terutama pemilik rumah mampu milik," katanya semasa sidang media selepas mesyuarat Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Pada Rabu Bekas Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin mahu semua pihak berkenaan membuat perbincangan secara tertutup sebarang isu mengenai sebidang tanah kontroversi di Kampung Datuk Keramat.

Tegas Nong Chik, sebarang pertelagahan terbuka terutama melibatkan pemimpin UMNO Wilayah Persekutuan hanya akan mengeruhkan situasi.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani sebelum ini meminta DBKL mengeluarkan surat baharu untuk meyakinkan penduduk di Kampung Datuk Keramat tentang penurunan harga rumah mampu milik di lokasi berkenaan.

Jelasnya, ketiadaan dokumen baharu daripada DBKL menjadi punca penduduk merasa ditipu dengan pembinaan rumah mencecah RM2 juta ringgit yang jelas tidak mampu dimiliki.

Sebelum ini, Johari menjelaskan, pembinaan kondominium di Kampung Baru merupakan asas bagi memastikan pembangunan seimbang Pelan Induk Terperinci Pembangunan Kampong Baru (PITPKB).

Ujarnya, ia sekali gus menjadi penggerak kepada pembangunan lain di sekitar ibu kota.

Dalam perkembangan berasingan, Mohd Razlan menjelaskan, Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan menetapkan Ketua Pemuda UMNO Bukit Bintang, Jefry Zain sebagai jurucakap semasa Perhimpunan Agung UMNO Disember depan.

"Pemuda Wilayah Persekutuan juga akan mencadangkan Kerajaan untuk mewujudkan Taska 1Malaysia dengan caj yang murah terutama kepada ibu bapa dalam bandar.

"Selain itu, isu pemulangan semula insentif kad Touch and Go serta peningkatan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) akan diutarakan semasa perhimpunan nanti," ujarnya.

Perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO akan diadakan pada malam 8 Disember, sementara Perhimpunan Agung UMNO akan diadakan selama tiga hari mulai 10 Disember ini.