Jangan pernah berhenti perangi rasuah.

Itu pesanan dua penerima anugerah Perdana International Anti-Corruption Champion Foundation, yang disampaikan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad, pada Selasa.

Dua penerima tersebut ialah Timbalan Pendakwa Raya di Jabatan Peguam Negara, mendiang Datuk Anthony Kevin Morais dan Ketua Penyiasat Komisi Pembanterasan Rasuah Indonesia, Novel Baswedan.

Morais didakwa dibunuh ketika sedang menjalankan penyiasatan berkaitan satu skandal rasuah pada 2015, manakala Novel hampir buta selepas disimbah asid ketika menjalankan satu penyiasatan pada 2016.

"Saya harap setiap dari kita ambil inspirasi daripada mendiang adik saya, berani dan berusaha keras memerangi rasuah.

"Terima kasih kepada Perdana Menteri kerana memberikan anugerah ini kepada mendiang. Saya bangga dan bersyukur," kata abang Kevin, Datuk Richard Morais.

Sementara itu, Novel berkata, penghargaan dan sokongan komuniti antarabangsa kepadanya diharap menjadi sumber kekuatan kepada pihak yang terlibat memerangi rasuah di Indonesia.

"Semoga ia menjadi kekuatan baru kepada pegawai dan aktivis anti-rasuah di Indonesia dan semua negara, termasuk Malaysia agar bekerja lebih optimal dan tidak kenal lelah.

"Semoga apa yang kita lakukan dapat menjadi amal baik untuk kita semua," kata Novel yang mengalami kecederaan kekal di bahagian matanya akibat disimbah asid tersebut.

BACA: Rasuah: 69 peratus pemberi maklumat hilang pekerjaan - Kajian

Majlis penganugerahan berlangsung serentak dengan pelancaran Perdana International Anti-Corruption Champion Foundation (PIACCF), yang berfungsi sebagai sistem sokongan kepada pegawai-pegawai agensi anti rasuah yang telah mangsa penganiayaan ketika menjalankan tugas.

Turut hadir, Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah (GIACC) Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Terdahulu dalam ucapannya, Dr Mahathir berkata anugerah itu adalah lambang penghargaan PIACCF kepada semua pegawai berani yang telah menderita dalam menegakkan integriti mereka.

"Saya juga ingin menzahirkan penghargaan kepada semua di seluruh dunia yang telah berkorban masa, nyawa dan komitmen dalam menamatkan ancaman rasuah," katanya.

Dr Mahathir juga mengiktiraf sumbangan bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, bekas Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Mohd Shukri Abdull dalam mendedahkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Katanya, ia satu kes yang penting kerana menjadi titik perubahan hala tuju politik Malaysia dan mencetuskan kebangkitan dalam kalangan rakyat Malaysia.

"Keberanian bersama dan kesungguhan mereka menjatuhkan rejim kleptokrasi, menunjukkan kuasa rakyat yang tidak pernah berlaku sebelum ini," katanya.