"Biarpun dah beberapa hari, saya masih lagi trauma dan ugutan perompak yang mengacu senjata ke kepala saya masih terngiang-ngiang di telinga."

Demikian kata peniaga kedai runcit, Rohani Sokko, 46, yang berdepan detik hitam selepas disamun tiga perompak bertopeng bersenjatakan senjata menyerupai pistol dan parang dalam kejadian jam 4.40 petang, Ahad lalu.

Berikutan kejadian itu, mangsa yang juga warga Thailand kerugian hampir RM5,000 apabila perompak melarikan wang tunai sebanyak RM2,500 dan seutas gelang emas miliknya.

Rohani berkata, ugutan salah seorang perompak, 'mu diam jangan buat bising atau aku tembak kepala mu' membuatkan jantungnya seolah-olah berhenti berdegup.


Foto Sinar Harian
Menceritakan semula kejadian itu, menurutnya, ketika kejadian dia hanya bersendirian di kedainya manakala suaminya Rimin Saikromon, 73, berada di bandar Chukai atas urusan kerja.

"Dua orang anak saya ada di atas rumah dan ketika kejadian kedua-duanya sedang tidur dan hanya saya sahaja yang ada di dalam kedai.

"Saya waktu itu sedang mengupas bawang untuk dijual sebelum terdengar pintu sebuah kereta ditutup kuat lalu tiga lelaki yang memakai topeng memasuki kedai," katanya.

Rohani berkata, dua lelaki itu masing-masing memegang sebilah parang dan seorang lagi membawa senjata yang bentuknya seakan-akan pistol dan terus meluru ke arahnya yang sedang duduk di kaunter kedai.

Perompak yang meluru ke arahnya kemudian bertindak mengacukan senjata yang berbentuk pistol di kepalanya dan mengarah mangsa diam atau dibunuh.

Katanya, memikirkan kemungkinan dia akan dibunuh perompak tersebut dan dia hanya menuruti arahan ketiga-tiga perompak terbabit.

"Dia suruh saya serah duit yang ada dalam poket seluar saya namun saya kata duit ada di dalam laci dan salah seorang dari perompak membuka laci dan mengambil duit.

"Kemudian salah seorang perompak arahkan saya bagi rantai leher tapi saya selak tudung saya dan memberitahu saya tidak pakai rantai dan hanya gelang tangan sahaja," katanya.

Menurut Rohani, selepas mengambil gelang tangannya, ketiga-tiga perompak terbabit kemudiannya bergegas pergi ke kereta mereka dan melarikan diri.

"Saya terus berlari meminta tolong orang ramai dan cuba hendak mengambil nombor pendaftaran kereta mereka namun tiada nombor pendaftaran di kereta," katanya.

Katanya, sejurus perompak melarikan diri dia juga nyaris pengsan kerana terlalu takut dan terkejut sebelum salah seorang anaknya memegang dan membawanya duduk di atas kerusi di kedainya.

Katanya, kejadian itu sukar dilupakan kerana merupakan pengalaman pertamanya berdepan detik menakutkan bagaikan nyawa berada di hujung tanduk sepanjang tiga bulan menguruskan kedai runcit tersebut.

Kejadian samun berkenaan turut dilaporkan Sinar Harian, kelmarin.

Sementara itu Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd Said Ibrahim berkata, usaha mengesan suspek masih giat dijalankan.

Malah, polis juga sangat mengalu-alukan orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian tersebut untuk menyalurkan maklumat dengan datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman atau menghubungi bilik gerakan di talian 09-8592222.