Jemaah haji Malaysia dinasihatkan supaya tidak melakukan perkara khurafat, membuat maksiat atau dosa serta terjerumus kepada pertengkaran pada Hari Wukuf, yang jatuh pada Khamis ini (31 Ogos), sehingga boleh menjejaskan ibadah haji.

Pengarah Operasi Bimbingan Haji 1438 Hijrah, Tengku Aziz Raja Abdullah berkata perbuatan seumpama itu dimurkai oleh Allah SWT, sedangkan Hari Wukuf adalah hari yang sangat mustajab untuk berdoa serta memohon pengampunan.

"Khurafat memang ditegah da-lam Islam kerana perbuatan itu menghampiri kepada syirik. Sedangkan dalam falsafah haji, ketika mengucapkan talbiyah iaitu dalam panggilan Allah SWT, kita sudah buat perakuan bahawa kedatangan ke Tanah Suci ini, kita tidak akan melakukan perbuatan syirik.

"Maka, jaga perbuatan dan tingkah laku kerana matlamat jemaah haji ke Tanah Suci adalah untuk memperoleh haji mabrur," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Tabung Haji di bangunan Hotel Al-Janadriyah di sini.

Berdasarkan pengalaman lepas, beliau berkata antara perbuatan khurafat dilakukan jemaah haji adalah mengambil tali khemah, menyimpan kerak nasi untuk menambah kekayaan serta menanam duit di Padang Arafah bagi dijadikan 'ibu duit' dalam perniagaan.

Dalam pada itu, beliau berkata banyak cabaran sewaktu wukuf di Arafah, dan setiap jemaah haji hendaklah benar-benar ikhlas dalam memohon doa dan keampunan supaya amalan ibadat haji diterima oleh Allah SWT.

"Hari Wukuf adalah saat yang paling penting bagi jemaah haji. Nasihat saya, dalam melaksanakan ibadah haji memerlukan kesabaran yang tinggi.

"Sewaktu wukuf inilah, Allah mengajar kita walaupun dalam kepayahan, mohonlah keampunan dan bantuan daripadaNya. Jangan berharap kepada makhluk," ka-tanya.

Tengku Aziz berkata bagi memastikan jemaah dapat melaksanakan ibadah haji dengan sempurna, mereka juga perlu bersedia dari segi mental, fizikal dan rohani.

Sementara itu, beliau berkata Lembaga Tabung Haji juga menyediakan sebuah buku, Senarai Semak Ibadah Haji, bagi membantu jemaah menyemak amalan yang perlu dilakukan semasa menunaikan Rukun Islam Kelima itu.

"Apabila melihat buku senarai semak itu boleh membantu jemaah daripada melakukan kesilapan atau tertinggal amalan yang boleh menyebabkan kadang kala mereka boleh dikenakan dam dan sebagainya," kata beliau.

-- BERNAMA