"Tak perlu berbicara atau meminta kebebasan media kalau diri sendiri pun tidak mengamalkan apa yang diminta."

Itu kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo ketika menjawab soalan Datuk Seri Nancy Shukri (PBB-Batang Sadong) yang ingin mengetahui tentang komitmen kerajaan dalam isu penyiaran berita tempatan Sarawak di Semenanjung.

Gobind dalam jawapannya bagaimanapun mempersoal tindakan kerajaan negeri yang dakwanya tidak membenarkan wakil kerajaan pusat untuk hadir dalam majlis mereka untuk dibuat liputan.

“Saya sebutkan secara jelas, apabila ada events dikendalikan kerajaan negeri, liputan itu diadakan. Tapi bila kita lihat negeri keluarkan beberapa pekeliling, di mana tak dibenarkan wakil Pakatan Harapan untuk hadir program mereka.

"Jadi saya minta kepada Sarawak, kita kalau nak tanya pasal kebebasan ini, you have to practise what you preach. Jangan setakat sebut we (PBB) are PH-friendly, tapi pada masa tak benarkan sama sekali mana-mana wakil kita dari Sarawak atau luar Sarawak untuk hadiri acara kerajaan negeri,” katanya sewaktu sesi Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, di sini hari ini.

Mengenai soalan Tan Kok Wai (PH-Cheras) yang ingin mengetahui sama ada kerajaan akan mengkaji cadangan mengehadkan pemilikan saham pemimpin politik atau parti politik terhadap sesuatu syarikat media, Gobind berkata perkara itu akan dikaji.

Tetapi, apa yang penting, jelas Ahli Parlimen Puchong itu lagi, ialah bagaimana memastikan laporan berita sesuatu media itu neutral, benar, serta mampu memupuk diskusi dalam kalangan rakyat mengenai sesuatu dasar atau isu.

“Kerana apa yang kita lihat secara global, rakyat sesuatu negara dibina mengikut berita dilaporkan dan mereka baca. Apa yang corak pemikiran mereka adalah apa yang mereka baca melalui media.

Dalam keadaan itu kita dalam proses melihat bagaimana kita boleh memperbaik keadaan, dan keduanya, kita dalam proses menilai perlunya satu media council (jawatankuasa media) yang boleh membantu dalam perkara sedemikian,” jelasnya lagi.