Tutup

Jangan campur aduk politik dalam hal ehwal keagamaan - Exco

Jangan campur aduk politik dalam hal ehwal keagamaan - Exco
Mohd Rafiq yang juga Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu berkata Ketua Menteri Adly Zahari telah dimaklumkan dan tiada halangan tentang kehadiran Zakir asalkan tidak melibatkan ceramah seperti saranan pihak polis - Gambar Sinar Harian
MELAKA: Semua pihak digesa agar tidak mencampuradukkan politik dalam sebarang hal ehwal keagamaan dalam usaha untuk mengekalkan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang latar belakang di negara ini, kata Pengerusi Masjid Cina Melaka Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen.

Exco Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan Melaka itu berkata penganjuran program Malam Islam Bersatu Bersama Dr Zakir Naik diadakan malam ini di masjid itu adalah program keagamaan dan disokong lebih 3,000 umat Islam di negeri ini tanpa mengira fahaman politik.

"Pemimpin parti Bersatu, UMNO dan PAS ada hadir hari ini tetapi semua tanggalkan baju politik mereka di luar masjid dan semua bersama dalam program ini sebagai umat Islam.
"Ini bukan program parti politik atau kerajaan negeri, ini program anjuran masjid. Saya tidak endahkan sebarang tekanan terhadap program ini kerana ini hak kita sebagai orang Islam tiada kena mengena dengan parti politik," katanya kepada pemberita selepas program itu di Krubong di sini, malam ini.

Ketua Polis Melaka Datuk Raja Shahrom Raja Abdullah pada Isnin lepas dilapor sebagai berkata polis tiada halangan terhadap penganjuran program tersebut kerana ia hanya melibatkan solat dan tidak melibatkan ceramah oleh pendakwah dari India itu.
Mohd Rafiq yang juga Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu berkata Ketua Menteri Adly Zahari telah dimaklumkan dan tiada halangan tentang kehadiran Zakir asalkan tidak melibatkan ceramah seperti saranan pihak polis.

Ditanya tentang kerjasama beliau dalam kerajaan negeri dengan pemimpin yang memberi tentangan terhadap program itu, beliau berharap tiada masalah kerjasama antara mereka dan dapat meneruskan kerja-kerja bersama sebagai exco kerajaan negeri.

Semalam, Pengerusi DAP Melaka Datuk Tey Kok Kiew yang juga Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Melaka membidas Mohd Rafiq kerana bertindak mengadakan program itu dan membawa Zakir ke negeri ini.

-- BERNAMA

Tag: UMNO, DAP, PAS, Ketua Menteri, Islam, Zakir Naik


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.