Ibu bapa disaran agar tidak menghantar anak-anak mereka ke sekolah ataupun tadika sekiranya terdapat tanda-tanda penyakit tangan, mulut, dan kaki (HFMD), kata Menteri Kesihatan Dr Dzulkifly Ahmad.

Beliau berkata, sekiranya ibu bapa mengambil sikap tidak peduli dan terus juga menghantar anak-anak mereka ke premis berkenaan atas alasan tidak ada cuti, dikhuatiri akan menyebabkan penularan dalam kalangan murid-murid lain.

"Kalau anak kita tak sihat jangan hantar juga ke sekolah kerana kita nak pergi kerja. Kalau anak kita tak sihat mungkin kita kena ambil cuti untuk menjaga anak-anak kita. Itu mesej yang ingin saya sampaikan.

“Jadi kalau masih bersikap degil, dan menghantar juga anak-anak mereka, dikhuatiri mereka pembawanya pembiaknya kepada penyakit HFMD ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Gotong Royong Mega Perangi Aedes 1.0 Peringkat Kebangsaan di Bandar Puncak Alam, di Kuala Selangor pada Sabtu.

BACA: Penguatkuasaan terhadap taska, tadika yang mempunyai kes HFMD

BACA: Penularan HFMD: Jantung gagal berfungsi jika tiada rawatan dari awal

BACA: Penyakit HFMD terkawal, tiada kematian dilaporkan setakat ini

Dalam pada itu, Dr Dzulkifly berkata, sebanyak 37,986 kes HFDM telah dicatatkan di seluruh negara antara tempoh 1 Januari hingga 27 Julai lepas.

Dalam tempoh yang sama, sebanyak 539 premis telah ditutup, dan jumlah ini termasuk 241 taska, 259 tadika serta 39 sekolah.

Namun beliau berkata, tiada sebarang kematian dicatatkan kerana virus penyebab HFMD bukan dari jenis yang boleh membawa maut.

Bagi membendung penularan penyakit itu, Dr Dzulkifly berkata, kementerian telah memperkenalkan kembali lima langkah yang boleh diamalkan bagi membendung penularan penyakit itu.

Lima langkah itu, jelasnya lagi, adalah menjaga kebersihan diri, mencuci tangan secara berkala, menjaga kebersihan persekitaran, memastikan saringan dilakukan di tempat-tempat tertentu termasuk sekolah dan tadika, serta penggunaan sanitizer secara berterusan.