Rakyat tidak digalakkan untuk mendesak doktor memberikan antibiotik sebagai rawatan terutamanya terhadap jangkitan virus seperti batuk dan selsema.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini kerana kebanyakan jangkitan yang berpunca dari virus tidak akan terkesan dengan antibiotik.

"Penggunaan antibiotik secara tidak wajar dan berleluasa boleh mengakibatkan kerintangan antibiotik.

"Kerintangan antibiotik menyebabkan antibiotik yang biasa digunakan tidak lagi berkesan," kata Dr. Noor Hisham dalam satu kenyataan.

Dr. Noor Hisham menjelaskan contoh penyakit yang memerlukan antibiotik adalah seperti jangkitan paru-paru dan jangkitan darah

Jelasnya, antibiotik perlu digunakan dengan berhati-hati bagi memastikan ia kekal berkesan untuk seberapa lama yang boleh.

"Jika digunakan secara berlebihan juga berbahaya, saya nasihatkan masyarakat perlu dapatkan nasihat yang tepat daripada pakar," katanya.

Selain itu, Dr. Noor Hisham turut menasihatkan untuk mengamal langkah pencegahan jangkitan seperti pengambilan vaksin, penjagaan kebersihan diri, dan pemakanan sihat.

Sekiranya pesakit memerlukan rawatan antibiotik, pesakit perlu mematuhi nasihat ahli profesional kesihatan tentang cara pengambilan antibiotik yang betul termasuk dos dan tempoh rawatan yang diperlukan, serta tidak berkongsi antibiotik dengan orang lain.

Antibiotik adalah sejenis ubat dikawal di bawah akta sedia ada yang mana ia hanya boleh dibekalkan oleh pengamal perubatan dan veterinar berdaftar serta ahli farmasi berlesen dengan preskripsi yang sah.

Tambahnya, penjualan antibiotik secara atas talian adalah dilarang di bawah Akta yang sama.

Penguatkuasaan oleh KKM terhadap penjualan ubat seperti antibiotik dijalankan secara berterusan termasuk rampasan antibiotik bagi kes pelanggaran di bawah Akta Racun 1952.

Beliau menegaskan, penggunaan antibiotik juga sentiasa dipantau melalui aktiviti survelan penggunaan antibiotik yang dijalankan sepanjang tahun di hospital KKM, Hospital Angkatan Tentera, hospital universiti, hospital swasta dan klinik kesihatan.