Masyarakat digesa ambil peduli mengenai penagihan dadah yang berlaku di sekeliling mereka.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berpendapat dalam keadaan sekarang, pepatah ‘jangan jaga tepi kain orang’ sudah tidak lagi relevan

Menurutnya proses perbandaran atau urbanisasi telah menyebabkan masyarakat hanya ambil peduli jika hilang harta benda atau berlaku jenayah.

“Di dalam soal dadah, perkara yang sama berlaku.

“Apabila berlaku urbanisasi, kita tidak berapa peduli tentang apa yang berlaku di sekeliling kita, terutamanya di kawasan-kawasan perumahan,” jelas Datuk Seri Ahmad Zahid

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian serentak sambutan Hari Penjara ke-228 dan Hari Anti Dadah Kebangsaan ke-35 di Arena Merdeka, Tapah, Perak pada Sabtu.

Beliau pada masa sama memaklumkan secara keseluruhannya, kadar penagihan dadah di seluruh negara telah menurun tahun ini, berbanding tahun lepas.

Bagaimanapun, beliau berharap usaha menurunkan kadar penagihan berulang dan penagih-penagih baru tetap diteruskan.