Majlis perkahwinan dan akad nikah boleh dianjurkan dengan bilangan tetamu maksimum dihadkan seramai 250 orang.

Itu penjelasan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengenai kekeliruan yang timbul berhubung perkara itu.

"Sebenarnya ramai yang keliru apabila saya umum majlis perkahwinan dibenarkan dengan kapasiti 250 orang tetamu (sebelum ini). Ia (sebenarnya) termasuklah majlis akad nikah.

"Kalau pertunangan dibenarkan, akad nikah juga dibenar. Ramai keliru, mereka ingat (majlis) akad nikah dihadkan 20 orang. Akad nikah juga sebenarnya (dibenarkan)... sama ada dalam masjid atau dewan boleh undang tetamu tetapi tidak lebih 250 orang," katanya dalam sidang media PKPP di sini pada Isnin.

Bagaimanapun, katanya ia perlu diadakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan berdasarkan saiz keluasan serta kapasiti ruang lokasi majlis.

katanya, kebenaran sama turut diberikan kepada majlis penganut bukan agama Islam.

"Jadi (kesimpulannya), kebenaran jumlah tetamu ini juga diberikan kepada majlis jamuan perkahwinan di rumah ibadat dan persatuan agama bukan Islam," ujarnya.