“Kesian bayi tu, dan ibu. Kesian bayi tu nyawanya setakat itu sahaja. Dilahirkan dan dimatikan oleh ibu yang sama. But please, don't judge her. Please don't,” itulah ungkapan seorang netizen susulan insiden seorang ibu berusia 32 tahun megelar bayi perempuannya sehingga mati.

Dakota Dykia meminta orang ramai untuk tidak mengkritik wanita berkenaan kerana dia hanya mangsa 'postpartum psikosis' yang dialami oleh hampir setiap ibu yang baru melahirkan anak.

Menurut Dakota, perubahan hormon, kehilangan nikmat tidur serta kepenatan merupakan antara punca utama para ibu mengalami gangguan emosi.

Lebih menyedihkan, keadaan masyarakat yang suka menuding jari kepada wanita mengandung jika mereka mengadu kepenatan.

“Yang menanggung perubahan hormon, sakit badan yang bukan hanya setakat 9 bulan tetapi berpuluh tahun akan datang kerana risaukan anak-anak, adalah perempuan.

“Tapi masyarakat tidak mahu dengar perempuan mengadu letih atau meminta simpati. Katanya tidak bersyukur dengan apa yang Allah beri.”

Dakota kemudian mengimbas kembali pengalamannya selepas bersalin dan memahami setiap perkara yang dilalui oleh si ibu itu, kerana dia turut pernah berdepan dengan situasi yang sama.

“Apa yang si ibu ini lalui, adalah sama seperti yang pernah saya lalui selepas melahirkan anak sulung saya. Perubahan hormon, pengecutan rahim, pembengkakan payudara, letih berhari-hari menahan sakit kontraksi dan kemudiannya tidak boleh tidur malam kerana menyusukan anak selang dua jam.

“Lebih memburukkan keadaan, ketika di dalam pantang, saya tidak dibenarkan minum air. Seteguk cukup. Ini arahan bidan.

“Makan pula tanpa berkuah atau serat. Bila kurang minum air, badan mula jadi kering dan saya kena sembelit yang teruk.

“Tak cukup dengan itu, saya dilarang untuk lelap walaupun sekejap di siang hari.

“Hasilnya, saya mengalami post-partum depression. Otak memasuki peringkat halusinasi, kekeliruan, depresi dan delusi. Duduk seorang diri dalam bilik, menangis.

“Suami pula terpaksa meninggalkan kami dua beranak untuk bekerja jauh. Sebulan sekali baru balik,” katanya.

Akibatnya, dia juga pernah mengalami rasa benci terhadap bayinya dan cuba menyerangnya.

“Setiap kali saya pandang anak saya, saya tidak nampak bayi yang comel. Di fikiran saya, ini bukan anak saya tapi ini anak syaitan. Astaghfirullahalazim!

“Beberapa kali juga saya terniat untuk mengambil gunting. Perasaan ingin menikam bayi saya cukup kuat. Berzikir saya berulang kali untuk sedarkan diri. Kalimah dengan nama Allah itulah yang menahan saya dari melakukan perkara yang tidak diingini.

“Tetapi perasaan itu tetap datang sesekali. Walaupun benci, saya tetap layan anak saya sehalus mungkin," tulisnya.

Dakota kemudian memperoleh semangat selepas menonton rancangan Oprah Winfrey yang membincang isu postpartum psikosis.

Banyak cara baharu yang diamalkan oleh Dakota dan pulih secara berperingkat.

Antaranya ialah melakukan perkara yang membawa keselesaan kepada dirinya.

“Kepada para ibu yang sedang hamil, cuba elakkan dari memikirkan terlalu banyak perkara. Jadikan momen ibu dan bayi sesuatu yang ringkas dan selesa. Ibu tenang, bayi pun sihat," nasihat Dakota.