Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai menempelak sesetengah pihak yang mengaitkan perhimpunan Bersih 4 sebagai sebuah perhimpunan perkauman.

Malah, beliau menyifatkan tidak perlu untuk melabelkan kaum Cina sebagai peserta yang mendominasi perhimpunan selama 34 jam itu.

"Saya ingin nyatakan di sini, tidak ada kena mengena dengan kaum.

"Saya tidak mahu sesetengah pihak melabelkan ia perhimpunan kaum. Ini tidak baik untuk negara kita," katanya selepas pelancaran Kembara Kasih Merdeka 2015 di Putrajaya, hari ini.


Tegasnya, pemikiran sedemikian adalah tidak matang pada masa kini yang mana Malaysia merupakan sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Beliau yang menghormati pendirian dan kenyataan sesetengah individu berkenaan perkara tersebut turut mahu setiap pandangan yang diluahkan perlu berada dalam ruang lingkup undang-undang.

"Kita rakyat berbilang kaum, sesiapa sahaja berhak keluarkan pandangan dan tindakan tetapi perlulah berlandaskan undang-undang sebuah negara demokratik berperlembagaan," katanya.

Himpunan Bersih 4 yang berlangsung selama 34 jam tamat tengah malam tadi walaupun pada asalnya mendapat pelbagai halangan daripada pihak berkuasa tempatan serta polis yang mengkategorikannya sebagai haram.

Sementara itu, Liow enggan mengulas lanjut kenyataan senator MCA iaitu Timbalan Menteri Pendidikan Chong Sin Woon yang memberi kebenaran kepada pelajar universiti bagi menyertai Bersih 4 pada 28 Ogos lalu.

Menurutnya, perkara itu akan diperhalusi dahulu di peringkat parti.