Jangan lepas pandang pelajar berkeperluan khas - Tun Siti Hasmah

Jangan lepas pandang pelajar berkeperluan khas - Tun Siti Hasmah
Kata Dr. Siti Hasmah masih ada kalangan kanak-kanak yang mengidap penyakit kronik yang terlepas daripada menerima akses kepada pendidikan berikutan ketidakupayaan mereka untuk hadir ke sekolah. Foto BERNAMA
SHAH ALAM: Masih ada kalangan kanak-kanak yang terlepas daripada mendapat akses kepada pendidikan, terutamanya kanak-kanak yang berhadapan penyakit kronik serta perlu menjalani rawatan intensif.

Keadaan ini menyukarkan mereka untuk mereka hadir ke sekolah seperti rakan-rakan seusia mereka.

Bagi memberikan mereka peluang untuk mendapatkan pendidikan atas prinsip menyediakan akses pendidikan kepada semua, Pertubuhan Kebajikan Amal Silaturahim Isteri-Isteri Harapan Malaysia (Kasih Malaysia) melancarkan program Sinar Kasih pada Selasa yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Kasih Malaysia, yang juga merupakan isteri Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali.

"Mereka mengidap penyakit kronik dan oleh sebab itu mereka tidak ke sekolah tetapi mereka minat dan berhak untuk belajar malah mereka juga bercita-cita dan ada bakat untuk belajar seperti rakan-rakan mereka yang lain," kata Dr. Siti Hasmah ketika ditemu bual selepas perasmian program Sinar Kasih di Shah Alam. 



Dalam pada itu, Dr. Siti Hasmah yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang aktivisme dan kebajikan juga berpesan kepada sukarelawan yang terlibat dalam program ini, supaya meningkatkan ketahanan emosi selain faham akan sensitiviti murid yang bakal disantuni mereka kelak.

Melalui program Sinar Kasih, pelajar yang mengalami penyakit kronik dan berkeperluan khas akan menerima bimbingan akademik atau 'home-coaching'. 

Mereka bakal mendapat bimbingan dalam subjek teras seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah.

Untuk fasa pertama, program ini akan melibatkan 46 kawasan parlimen di seluruh negara.

Ia dijalankan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan dan Universiti Management Science (MSU).

Sementara Astro AWANI bertindak sebagai rakan strategik yang akan menyiarkan gerak kerja sukarelawan Sinar Kasih menerusi program Dian.




Tag: Astro, Astro Awani, Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Kementerian Pendidikan, Sinar Kasih, PH, Pakatan Harapan, Pertubuhan Kebajikan Amal Silaturahim Isteri-Isteri Harapan Mal, Kanak-kanak, penyakit kronik, kronik


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.