Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memberi amaran kepada awam tentang bahaya memakan sayur Romaine lettuce yang diimport dari Amerika Syarikat (AS), susulan laporan yang mendapati ia dicemari bakteria patogenik Escherichia coli (E.coli).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata KKM mengambil maklum laporan artikel bertajuk “Romaine lettuce is not safe to eat, CDC warns US consumers” yang disiarkan The Washington Post pada 20 November lalu.

"Berdasarkan maklumat daripada Sistem Maklumat Keselamatan Makanan Malaysia (Food Safety Information System of Malaysia atau FoSIM), Malaysia ada mengimport sayur Romaine lettuce dari AS.

"Sehubungan dengan itu, berkuatkuasa 23 November 2018, KKM telah mengenakan tindakan penguatkuasaan 'Tahan, Uji dan Lepas' (TUL) terhadap sayur Romaine lettuce yang diimport," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Susulan itu, KKM memberi arahan kepada pengusaha yang menjual sayur ini untuk menarik balik penjualan mereka dengan serta merta.

Kementerian pada masa sama sedang memantau kes E.coli di Malaysia dan sehingga kini mendapati, tiada kes baharu yang wujud.

Ini membolehkan KKM untuk memberi amaran kepada awam secara lebih efektif.


E.coli adalah sejenis bakteria yang boleh menyebabkan keracunan makanan yang serius.

Antara tanda-tanda orang menghidapi E.coli adalah berasa loya yang teruk, cirit birit, sakit perut, muntah, pening.

E.coli boleh menyebabkan keracunan makanan yang serius sehingga boleh menyebabkan kematian jika tidak dikawal.

KKM menyarankan agar orang awam mendapatkan rawatan segera sekiranya mendapati bahawa mereka mempunyai tanda-tanda seperti di atas.