Semua pihak perlu bertenang dan mengelak sebarang provokasi baru ekoran insiden di Bukit Bintang pagi Isnin, kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"PAS ingin merayu dan meminta semua pihak yang ada dalam negara ini, terutamanya di kawasan sekitar titik panas Bukit Bintang Kuala Lumpur bertenang dan mengelakkan sebarang provokasi baharu yang boleh menghangatkan suasana.

"Jangan kita cemari keharmonian pelbagai kaum dalam negara ini dengan insiden yang boleh melebarkan hubungan baik semua pihak yang sedia terjalin sejak zaman berzaman," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Abdul Hadi berkata, semua pihak terlibat harus menangani peristiwa kekecohan yang berlaku itu dengan sifat terbuka dan sabar.

"PAS meminta semua pihak agar menangani semua isu yang timbul, walau apa pun puncanya, dengan jiwa terbuka dan penuh dengan kesabaran terutamanya dalam bulan Ramadan yang mulia ini," katanya lagi.

Beberapa orang termasuk dua wartawan cedera selepas satu perhimpunan sekitar 200 orang di luar Plaza Low Yat bertukar menjadi ganas malam tadi.

Beberapa tangkapan dibuat, dan polis menutup kawasan Bukit Bintang.

Insiden itu, dipercayai berpunca daripada dakwaan kes curi, telah membawa kepada pergaduhan di plaza itu pada hari Sabtu, dan video kejadian itu disebar luas di Internet.