Undang-undang hudud tidak mungkin dapat dilaksanakan di negara ini, mahupun di Kelantan, kerana selain melanggar perlembagaan, pindaan Rang Undang-Undang itu memerlukan majoriti dua pertiga sebelum hudud dapat diluluskan.

Pakar undang-undang Universiti Malaya Prof Gurdial Singh Nijar berkata undian majoriti mudah tidak memadai untuk melaksanakan undang-undang berteraskan prinsip Islam itu.

Ini bermakna, sekalipun PAS dapat memujuk UMNO dan sebahagian daripada ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) agar berganding bahu dengan mereka untuk mengundi menyokong hudud, rang undang-undang itu masih tidak dapat diluluskan.

PAS mempunyai 21 orang Ahli Parlimen manakala UMNO 88.

PKR pula mempunyai 29 Ahli Parlimen (tetapi hanya 28 boleh mengundi kerana Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini dipenjarakan atas kesalahan meliwat pembantunya).

Ada 222 Ahli Parlimen kesemuanya dan untuk kelulusan Rang Undang-Undang hudud, PAS perlu mendapatkan sekurang-kurangnya 148 undi.

"Rang Undang-Undang hudud tidak boleh diluluskan dengan majoriti mudah kerana rang undang-undang itu sendiri salah dan akan melanggar prosedur-prosedur berkenaan dengan undang-undang jenayah dan perundangan negara," kata Gurdial.

Beliau berkata sebarang perubahan dalam Perlembagaan adalah bidang kuasa eksklusif Kerajaan Persekutuan dan bukan sesebuah negeri .

"Ini bermakna bahawa apa-apa kesalahan dalam senarai Kerajaan Persekutuan atau yang dikendalikan oleh Persekutuan jatuh bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan.

"Perlembagaan jelas menyatakan bahawa mana-mana negeri tidak boleh membuat atau menghukum kesalahan yang termaktub dalam senarai kerajaan persekutuan," katanya lagi.

Beliau memberi contoh dalam kes kecurian, rogol dan rompakan yang boleh dihukum di bawah Kanun Keseksaan adalah di bawah undang-undang Persekutuan.

"Pertamanya, negeri-negeri tidak boleh membuat undang-undang berkaitan jenayah walaupun perkara itu dikatakan satu jenayah bertentangan Islam.

"Undang-undang hudud Kelantan dan Terengganu tahun 1993 juga jelas bercanggah dengan Perlembagaan, " katanya.

Beliau berkata pindaan perlu dibuat kepada Perlembagaan untuk meluluskan hudud dan apa-apa pindaan dalam Perlembagaan, akan memerlukan majoriti dua pertiga.

Beliau juga mengutarakan beberapa soalan tentang rang undang-undang hudud yang boleh melanggar Artikel 4 dalam Perlembagaan.

"Menurut Artikel ini, mana-mana undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka yang tidak selaras dengan Perlembagaan akan terbatal.

"Jadi beberapa asas dalam Perlembagaan tidak boleh ditukar- contohnya meminda Perlembagaan untuk memansuhkan Parlimen. Ini adalah asas utama pembentukan Perlembagaan," katanya.

Beliau berkata, walaupun sukar pada masa ini untuk mengatakan apa yang akan berlaku jika rang undang-undang hudud itu diluluskan, beliau berkata akan timbul banyak tindakan undang-undang yang mencabar pelaksanaan hudud dari aspek perlembagaan.

"Walaupun undang-undang hudud itu diluluskan bagaimanakah ia akan dilaksanakan? Kuasa polis adalah di bawah bidang kuasa Persekutuan dan bukannya tersenarai bawah negeri," katanya sambil menambah bahawa kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa ke atas pasukan polis.