Malaysia mengesahkan tidak mengimport sebarang produk makanan dari Wuhan, China berikutan wabak koronavirus (2019-nCoV) yang melanda wilayah berkenaan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, rakyat negara ini tidak perlu khuatir memandangkan wabak tersebut dilaporkan tidak disebarkan melalui bahan makanan.

“Setakat ini kita tidak mengimport apa-apa dari Wuhan tetapi kita harus faham, berjaga-jaga dan bersiap sedia tentang isu ini (wabak koronavirus).

“Saya telah diberikan maklum bahawa setakat ini virus itu merupakan human transmission. Ia tidak lagi melibatkan bahan-bahan makanan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Kerjasama Strategik PETRONAS dan Agrobank, di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut, tegas Salahuddin, kerajaan bagaimanapun telah mengarahkan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) melakukan pemeriksaan rambang terhadap semua barangan termasuk buah-buahan di semua pintu masuk utama negara.

“Saya telah mengarahkan MAQIS (lakukan pemeriksaan) di semua pintu masuk, paling tidak pun mereka pada hari ini boleh melakukan pemeriksaan secara rambang dan memilih item-item tertentu seperti daging ataupun buah-buahan secara rambang dahulu.

“Tidak ada fakta yang menunjukkan berlakunya transmission (penghantaran) melalui makanan tetapi ia sebagai langkah pencegahan,” ujarnya.

Pada 2018, import utama Malaysia dari China termasuk barangan dan peralatan elektrik; bahan api mineral, minyak, produk penyulingan dan plastik.

Virus koronavirus baharu mula dikesan di bandar Wuhan pada akhir Disember lalu.

Setakat Selasa, koronavirus direkodkan telah merebak di 18 buah negara melibatkan sebanyak 92 kes di luar China.

Angka kematian di China akibat penularan wabak koronavirus terus meningkat kepada 106 orang