Tahun ini merupakan tahun terakhir Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dilaksanakan.

Ramai yang mengharapkan sistem peperiksaan baharu yang akan dilaksanakan tahun hadapan dapat memberi tumpuan kepada keupayaan pelajar.

Sudut Pandang mengupas tentang bagaimana bakat pelajar dapat dicungkilkan dan apa yang sepatutnya dilakukan.

Salah seorang panel, Pengerusi Pembangunan IKRAM, Prof Madya Dr Harlina Siraj berpendapat, bukan hanya sistem peperiksaan yang perlu diubah tetapi, sikap ibu bapa juga perlu diubah.

Katanya, sikap mahu anak-anak jadi apa yang ibu bapa mahu perlu dihentikan kerana ia tidak mencungkil bakat anak-anak.

"Kita sudah terlalu lama memendam bakat anak-anak kita. Kita sebenarnya tidak membantu anak-anak kita mencapai potensi mereka," katanya.

Dr Harlina berkata ibu bapa selalunya tidak yakin dengan apa yang dicita-citakan oleh anak-anak mereka.

Kerana itu, beliau menyarankan agar satu sistem penaksiran dan penilaian yang benar-benar mengukur pelajar dengan bakat dan kebolehan dilaksanakan.

"Sistem berasaskan peperiksaan tidak memberi peluang kepada pelajar yang mempunyai kebolehan dalam bidang lain," katanya.

Beliau juga menegaskan sistem pendidikan yang sedia ada masih berpaksikan kepada guru bukan kepada kemahuan pelajar.

Sementara itu, bagi Ketua Pegawai Esekutif Terato Tech, Reza Razali yang mencapai kejayaan dalam usia muda berkata apa yang dikecapinya sekarang kerana mendapat sokongan daripada ibu bapa.

Katanya, kedua orang tuanya memberi kebebasan untuk memilih apa yang mahu dilakukan sejak dari kecil lagi.

"Saya bukanlah seorang pelajar yang boleh dijadikan contoh, tetapi saya mendapat sokongan kedua ibu untuk melakukan apa yang saya mahu.

"Saya sering berbeza pendapat dengan kedua orang tua saya tetapi mereka tidak menjadikan perbezaan pendapat itu sebagai halangan untuk membenarkan saya lakukan apa yang saya mahu," katanya.