MANA-mana pihak dalam negara kita tidak sewajarnya mempengaruhi atau mengheret golongan kanak - kanak ke kancah politik orang dewasa.

Kanak-kanak atau golongan yang berada dibawah umur ini sepatutnya dilindungi dari sebarang pengaruh politik keterlaluan serta bebas daripada sebarang pengaruh politik keterlaluan daripada mana-mana pihak.

Isu politik adalah isu kompleks serta sensitif yang sesuai untuk diceburi oleh golongan dewasa yang mempunyai tahap pemikiran yang matang.

Kebiasaannya golongan kanak - kanak adalah golongan yang tidak memiliki tahap pemahaman dan kematangan yang tinggi berbanding dengan golongan dewasa oleh itu amat sukar untuk golongan kanak - kanak memahami sesuatu isu atau perkara yang kompleks dan sensitif seperti politik.

Terdapat juga kerisauan golongan kanak - kanak ini menjadi mangsa pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab yang mempunyai tujuan atau agenda tertentu.

Pada masa yang sama, terdapat juga kebimbangan sebarang pengaruh politik yang keterlaluan akan menjejaskan tumpuan proses pembelajaran kanak-kanak terbabit serta menganggu kestabilan atau keseimbangan mental serta psikologi golongan terbabit.

Golongan kanak - kanak atau golongan bawah umur ini perlu dilindungi pada setiap masa daripada dipengaruhi oleh mana - mana pihak dalam ataupun luar negara yang boleh menjejaskan diri kanak - kanak itu termasuk pengaruh politik yang keterlaluan.

Salah satu cara bagi melindungi kanak - kanak terbabit ialah melalui proses undang-undang.

Aspek perundangan mengenai perlindungan terhadap golongan kanak – kanak ataupun mereka yang berada dibawah umur seperti golongan remaja di Malaysia juga boleh dilihat telah lama wujud sebelum merdeka lagi iaitu seawal tahun 1947 dengan wujudnya Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda 1947 dan Akta Mahkamah Juvana 1947.

Walau bagaimanapun, menyedari hakikat bahawa terdapatnya satu keperluan untuk mengubah hala tuju konsep perlindungan terhadap golongan kanak-kanak ini dan juga mengakui bahawa perlunya pembaharuan di dalam undang-undang berkaitan sejajar dengan perkembangan semasa serta bagi masalah yang sering berlaku ke atas golongan kanak-kanak ini, maka satu akta yang khusus dan yang lebih komprehensif mengenai kanak-kanak telah digubal dan diluluskan iaitu Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611] yang telah berkuat kuasa pada 1 Ogos 2002.

Akta 611 terbabit telah mendefinisikan seorang kanak-kanak dalam Seksyen 2 sebagai seseorang yang di bawah umur 18 tahun.

Walaupun sudah terdapat pelbagai jenis peruntukan bagi melindungi golongan kanak-kanak dan bawah umur di dalam Akta 611 ini, namun ia dilihat masih tidak mencukupi dalam melindungi golongan kanak-kanak khususnya dari pengaruh politik keterlaluan.

Oleh yang demikian, pihak kerajaan boleh mempertimbangkan untuk mewujudkan satu peruntukkan yang lebih jelas di dalam Akta 611 ini supaya dapat melindungi golongan kanak-kanak ini daripada dipengaruhi oleh sentimen politik secara keterlaluan serta menyediakan satu bentuk hukuman yang keras terhadap mana - mana pihak yang melanggar peruntukkan ini.

Kewujudan peruntukkan khas ini adalah penting supaya semua pihak dalam negara kita jelas mengenai isu ini serta mengambil berat dalam perihal melindungi golongan kanak-kanak daripada terdedah dengan mana-mana pengaruh politik yang keterlaluan yang boleh menjejaskan kestabilan minda serta psikologi golongan kanak – kanak berkenaan.