Pihak Malaysia dan Indonesia diminta tidak memperbesarkan isu bendera Indonesia didapati dicetak secara terbalik dalam buku khas cenderahati KL2017.

Pengerusi Biro Antarabangsa Pemuda UMNO Malaysia Mohamed Hazali Abu Hassan berkata, pihaknya juga berharap Indonesia dapat menerima permohonan maaf Malaysia secara lahir dan batin.

"Secara peribadi , sebagai rakyat Malaysia dan sebagai Pengerusi Biro Antarabangsa Pemuda UMNO, saya terpanggil untuk turut memohon maaf kepada rakyat Indonesia di atas insiden bendera Indonesia dalam cetakan buku cenderahati majlis pembukaan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

"Berkemungkinan tiada alasan yang boleh diterima oleh rakyat Indonesia dan saya memahami sepenuhnya ketidak-puas hatian dan kemarahan mereka. Kami amat kesal dengan kekhilafan ini.

"Sememangnya ini adalah kesilapan dari pihak Malaysia, justeru itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin juga telah memohon maaf di atas perkara yang tidak disengajakan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

BACA: Khairy temui Imam Nahrawi mohon maaf isu bendera Indonesia dicetak terbalik

BACA: Kes bendera Indonesia terbalik bukan disengajakan - TPM

Bendera Indonesia didapati dicetak secara terbalik dalam buku khas cenderahati KL2017.

Pada Sabtu, Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia Imam Nahrawi menyatakan kekesalan berhubung perkara itu melalui akaun Twitternya yang kemudian dibalas Khairy juga melalui Twitter dengan permohonan maaf selain menegaskan kesilapan itu tidak disengajakan.

Dalam pada itu jelas Mohamed Hazali, pihaknya turut menerima baik kenyataan Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi yang berjiwa besar, mengambil pendekatan damai dan menasihatkan agar rakyat Indonesia tidak memperbesarkan isu itu.

"Namun kami juga termaklum dengan kekesalan yang di utarakan oleh Jokowi terhadap insiden ini," ujarnya.

Terdahulu, Khairy menyampaikan permohonan maaf bagi pihak Malaysia selaku tuan rumah KL2017 kepada seluruh rakyat Indonesia atas kesilapan melibatkan bendera negara itu.

Ia disampaikan Khairy dalam sidang media selepas pertemuan tertutup kira-kira 20 minit dengan Imam Nahrawi.