Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan rakyat negara ini supaya tidak mudah percaya dengan fitnah dan berita tidak sahih, khususnya di media sosial yang cuba mengganggu gugat keamanan dan ketenteraman hubungan sesama kaum di negara ini.

Baginda bertitah, setiap rakyat harus mempunyai tanggungjawab bagi mengelakkan tercetusnya sebarang bentuk pertelagahan dan perpecahan, berpunca daripada anasir negatif yang sengaja diprovokosi pihak tertentu, bertujuan mencemar perpaduan negara yang telah dibina selama ini.

"Amalkanlah sikap toleransi dan berusaha untuk saling memahami serta meraikan perbezaan adat, budaya dan agama, supaya kita dapat terus hidup dalam suasana merdeka, dalam erti kata sebenar.

"Beta doakan agar Malaysia sentiasa dirahmati dengan keamanan dan kemakmuran yang berpanjangan," titah baginda dalam kenyataan rasmi di laman sosial Facebook rasmi Royal Selangor Office hari ini.

Sultan Selangor bertitah sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-62 hari ini.

Sultan Selangor turut berharap sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos setiap tahun, akan terus menyemarakkan semangat patriotisme di kalangan rakyat, serta mampu menyemai rasa cinta dan sayang kepada negara dalam jiwa semua kaum dan bangsa di Malaysia.

Baginda bertitah, semangat patriotisme juga harus dizahirkan dalam bentuk perpaduan yang jitu dan keharmonian yang utuh, demi mengekalkan kemakmuran ekonomi negara dan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhannya.

"Syukur kepada Allah, Malaysia hari ini menyambut Hari Kebangsaan untuk kali ke-62, dalam suasana yang harmoni dan aman sentosa.

"Di kesempatan ini, Beta dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kebangsaan ke-62 kepada seluruh rakyat Malaysia," titah baginda. - BERNAMA