Jangan sesekali percaya khabar angin atau cakap kosong yang digembar gemburkan sesetengah pihak berkenaan keburukan dan kelemahan industri sawit negara.

Itu tegas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking berhubung isu wujudnya pakatan dari negara Eropah untuk memboikot salah satu industri utama negara itu.

Jelas Darell, wujud pihak berkepentingan yang mahu menjatuhkan industri sawit demi menonjolkan industri baru atau sedia ada yang akan diketengahkan pihak terbabit.

Katanya, khabar angin yang mengaitkan industri sawit menjadi punca kepada kepupusan orang utan dan penerokaan hutan tanpa had tidak sepatutnya wujud atau berlaku di negara ini.

Tambahnya, negara Malaysia akan terkesan terutama dari sudut ekonomi dan hubungan diplomasi dua hala jika berlaku kempen boikot industri tersebut.

Beliau menzahirkan rasa terkilan jika ada negara Kesatuan Eropah yang memboikot industri sawit negara hanya disebabkan khabar angin.

"Ini adalah kerja beberapa pelobi yang mungkin ingin membawa industri yang lain. Industri sawit industri yang bagus.

“Malah, Belanda antara pengimport terbesar kami dalam kalangan negara-negara Eropah. Sebarang sekatan yang dikenakan terhadap minyak sawit tetap memberi kesan tidak baik.

“Kita tidak akan menyerang balik negara yang menghalang pengeksportan minyak sawit apatah lagi memburukkan mereka,” katanya.

Sementara itu, Darell menegaskan Malaysia telah mewujudkan kerjasama erat dengan Indonesia terutama dalam sektor pengeluaran sawit.

Bagi menonjolkan kebaikan dan kelebihannya di peringkat rantau Asia serta antarabangsa terutama kepada Kesatuan Eropah.

Beliau berkata demikian ketika hadir dalam satu lawatan kerja bersama Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man, di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Kangar.