Penternak, peraih dan mana-mana individu diingatkan supaya tidak memindahkan haiwan ternakan dari daerah dijangkiti hawar berdarah ke daerah lain tanpa kebenaran Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Terengganu Dr Azman Ibrahim berkata perbuatan berkenaan adalah kesalahan serius kerana boleh menyebabkan penyebaran wabak penyakit itu ke kawasan lebih luas.

"Larangan keras ini perlu diambil perhatian oleh semua pihak demi kepentingan bersama. Daerah yang terjejas sekarang ialah Marang dan Kuala Terengganu. Pemindahan ternakan dari daerah lain yang tidak terlibat juga perlu mendapat kebenaran JPV," katanya dalam kenyataan di laman Facebook miliknya.

Dalam pada itu, beliau berkata pasukan penguat kuasa JPV Terengganu telah menahan sebuah lori membawa dua ekor kerbau disyaki cuba dipindahkan dari kawasan Manir ke daerah lain tanpa kebenaran, hari ini.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Warta Kerajaan Negeri Terengganu, Perintah di Bawah Subseksyen 36 (1) Akta Binatang 1953, Kawasan Kawalan Penyakit Kuku dan Mulut dan Penyakit Hawar Berdarah kerana melakukan pemindahan tanpa kebenaran Pengarah JPV Terengganu, yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM15,000 jika sabit kesalahan.

BACA: Hawar berdarah ragut 35 ekor kerbau peliharaan, 'Mowgli Malaysia' berduka

Baru-baru ini keluarga Muhammad Syukur Khamis, 15, yang dikenali sebagai 'Mowgli Malaysia' atau 'Kampung Boy' ditimpa musibah apabila lebih 50 ekor kerbau peliharaan mereka mati secara berperingkat sejak 9 Sept lepas, dipercayai akibat hawar berdarah.

Terdahulu, Pengarah JPV Terengganu Dr Mohd Tarmizi Ghazali berkata dari 9 hingga 28 Ogos lepas, seramai 13 penternak mengalami musibah itu, melibatkan kematian 22 ekor kerbau dan 15 ekor lembu, di Kampung Tuman Jerong, Marang.

-- BERNAMA