Gelang Patah kini bukan lagi bandar mundur sebaliknya giat menerima limpahan pembangunan sejak beberapa tahun lalu dengan hasrat melengkapi Nusajaya sebagai Pusat Pentadbiran Johor.

Pembangunan yang rancak itu bermakna banyak peluang perniagaan dan pekerjaan di kawasan itu dan sekitarnya.

Kerancakan pembangunan itu juga merunsingkan golongan peniaga kecil dan penjaja.

Bagi Noor Ratna Abu Hassan, 50, dia khuatir tapak berniaga sejak 16 tahun lalu itu tenggelam dek pembangunan di bandar Gelang Patah.

Tapak gerai tepi jalan itu merupakan punca rezekinya untuk menyara keluarga sejak belasan tahun.

“Gerai-gerai macam ini kan, kalau dia bagi tempat lain saya terima tetapi orang selalu kata rumah kedai baharu pasti sudah ada ‘gajah putih’ manakala sewanya juga tinggi,” katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini pada Jumaat.

Noor Ratna turut menjelaskan, dia ada menerima tawaran untuk berpindah ke lokasi lain namun disebabkan persaingan perniagaan dan sewa yang mahal membuatkannya berfikir dua kali.

Selain itu, kebimbangan sama turut dikongsi Lim Pooh Chwee yang telah berniaga di sini hampir 30 tahun.

Poh Chwee mengharapkan agar peniagaa sepertinya dipindahkan ke lokasi menjalankan perniagaan baharu, selesa dan mudah dikunjungi.

“Bagi tempat baharu la tetapi sehingga sekarang tidak tahu nak buat apa kerana sekarang mereka tidak memaklumkan kepada kami (perpindahan),” katanya.

Dianggarkan terdapat hampir 1,000 peniaga masih tertanya-tanya nasib mereka.

Sementara itu, Astro AWANI mengajukan masalah yang dihadapi penjaja itu kepada Ketua UMNO Gelang Patah, Mohammad Khairi A. Malik yang antara lain memberikan bantuan berbentuk barangan keperluan perniagaan kepada peniaga.

“Sekarang ini kita telah minta jasa baik dariapda Majlis Bandaraya Iskandar Puteri sendiri untuk membantu ahli-ahli majlis.

“Mana-mana yang berniaga tanpa lessen kerana tidak ada tempat yang betul, bukan di kawasan berbahaya kita mohon jasa baik majlis bandaraya tidak merobohkan dulu buat semetnara waktu sehingga mereka diberikan tempat yang sesuai untuk mereka berniaga,” katanya.

Beliau berkata, beberapa lokasi seperti di Mutiara rini dan Kangkar Pulai telah dikenal pasti sebagai tapak penempatan semula peniaga selain sedang dibangunkan.