“Tolong jangan putar belit cerita, saya dalam keadaan bersedih dan emosi terganggu”.

Demikian luahan A Bakar Abd Rahman, 48, berhubung isu kematian isterinya, Marini Kasman, 38, yang tular dikatakan menjadi korban pertama ekoran insiden pencemaran Sungai Kim Kim.

Abd Rahman ketika ditemui di kediamannya meluahkan rasa terkilan apabila kematian isterinya telah dimanipulasi sekaligus menjadi buah mulut orang ramai sehingga pihaknya diajukan soalan bertubi-tubi dari pelbagai pihak.
IFrame

Menurut Abd Rahman, isterinya sebelum ini turut mempunyai rekod perubatan yang berkaitan dengan penyakit darah tinggi sebelum memaklumkan kematian isterinya berpunca akibat kegagalan jantungnya pada jam 4 pagi semalam.



“Doktor beri saya surat keterangan punca kematian isteri akibat jantung gagal berfungsi dan juga paru-paru berair, saya pun tak pasti sama ada berpunca akibat pencemaran atau penyakit sedia ada”, katanya ketika ditemui di kediamannya di Pasir Gudang, Johor.

Abd Rahman yang juga merupakan seorang peniaga berkongsikan mengenai detik-detik isterinya ketika mengalami sesak nafas.

“Pada Jumaat malam dia dah mengadu tak tahan sakit sesak nafas lebih kurang jam 10 malam, ambulan dari Klinik Kesihatan Masai telah bawa beliau ke hospital utk dapatkan rawatan di emergency unit”.

“Sampai saja di emergency unit di zon kuning kemudian pihak hospital pindah terus ke zon merah sebelum seterusnya ke dewan bedah untuk proses memasukkan tiub pernafasan”., katanya.

Menyentuh berhubung kematian isterinya lagi, Abdul Rahman menegaskan pihaknya tidak menyalahkan mana-mana pihak dalam soal kematian isterinya sebaliknya terkilan dengan sikap pihak agensi media tidak bertanggungjawab yang memaipulasi isu berkenaan sehingga tular mengakibatkan beliau dihubungi pihak polis untuk memberi keterangan.

“Saya harap sangat media yang dating jumpa saya tolong jangan putar belit cerita salahkan mana-mana pihak sebab saya tidak menuduh sesiapa”, katanya lagi.

Tambah Abdul Rahman lagi, dia telah membuat laporan polis berkaitan tindakan agensi berita itu dan tular fitnah yang disiarkan di media sosial kerana mengaitkan kematian isterinya dengan pencemaran Sungai Kim Kim dan berharap pihak berkuasa mengambil tindakan tegas.

Semalam tular di laman sosial Facebook mendakwa Marini meninggal dunia kerana mendapat kesan daripada pencemaran Sungai Kim Kim pada Mac lalu.