Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan mahasiswa Cina dan India, terutama mereka yang berjaya memperoleh kecemerlangan akademik, supaya tidak berasa terpinggir dan merasakan sistem kuota menafikan hak mereka.

Sebaliknya, jelas Presiden PKR itu, beliau percaya kerajaan sentiasa mencari jalan memberikan tempat kepada mana-mana mahasiswa yang cemerlang untuk melanjutkan pengajian di peringkat tinggi.

"Kalau kita fikirkan dari sudut kaum, bagaimana kita mahu memastikan ada keadilan? Sebagai contoh, (bagaimana) sekolah seperti Victoria Institute mahu bersaing dengan sekolah di Manik Urai, Kelantan?

"Kita perlu ada pertimbangan itu. Kemudahan (di sekolah) tidak sama.

"Keadilan bukan bermakna sama rata. Kerana, sebagai contoh, anak seorang usahawan atau pegawai tinggi yang tiada beban kewangan tidak sama dengan anak nelayan di Lukut, Port Dickson," katanya pada sesi dialog bersama Mahasiswa di Universiti Putra Malaysia, pada Isnin.

Tambah Ahli Parlimen Port Dickson itu lagi, sekiranya keadilan menjadi sandaran, bukan sahaja mahasiswa cemerlang yang perlukan bantuan, tetapi juga mereka yang kurang bernasib baik.

Sehubungan itu, Anwar berharap semua pihak terutama mahasiswa faham bahawa kerajaan juga perlu memberi ruang dan peluang kepada anak-anak yang cemerlang sebagai satu pengiktirafan dalam konteks meritokrasi.

"Dalam masa sama, ada komitmen jelas untuk membantu anak-anak orang miskin yang cemerlang. Itu adalah keadilan.

"Kalau tidak, kalau kita guna meritokrasi sahaja, anak Cina di kampung nelayan di Lukut tidak akan dapat bersaing sama dengan anak Cina di sekolah terbaik di Kuala Lumpur... anak Melayu pun sama," katanya.