Jangan sekali-kali terlintas di fikiran untuk cuba merentas negeri tanpa kebenaran kerana tindakan anda itu boleh berakhir dengan dihukum mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atau Akta 342.

Tambahan pula ketika ini sekatan jalan raya di plaza tol seluruh negara mula dilaksanakan dan orang ramai diharap dapat memberi kerjasama sepenuhnya dengan mematuhi arahan serta prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengenakan 144 sekatan jalan raya rentas sempadan negeri di seluruh negara dan menahan 44 individu atas kesalahan melanggar SOP.

Walaupun ramai menanggung rindu setelah lama tidak berjumpa keluarga di kampung sejak PKP fasa pertama dilaksanakan 18 Mac lepas, apatah lagi dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi, perlu diingat bahawa percubaan merentas negeri bukan sahaja boleh menyebabkan individu dikenakan tindakan malahan mungkin menyumbang risiko kepada keluarga masing-masing.

Larangan rentas negeri itu bukan saja-saja hendak dilaksanakan, tetapi tujuannya adalah untuk mengelakkan penularan wabak COVID-19.

Sebelum ini, kerajaan membenarkan pasangan suami isteri yang tinggal berjauhan untuk melakukan perjalanan rentas negeri bagi membolehkan mereka berjumpa dengan keluarga, namun bagi golongan bujang kelonggaran itu masih belum dapat diberikan.

Walaupun tidak dapat bersua muka, bersyukurlah masih ada teknologi seperti laman media sosial dan aplikasi panggilan video yang boleh digunakan sebagai pengganti diri yang setidak-tidaknya dapat mengubat kerinduan kepada keluarga.

Hari ini adalah hari ke-12 PKPB dilaksanakan sejak 4 Mei lepas, dan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia ialah 6,855 kes dengan 112 kematian.

Memetik kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, usaha pemurnian data-data berkaitan COVID-19 sudah dijalankan dan satu sistem pangkalan data dikenali 'eCOVID' telah dibangunkan.

Menerusi sistem itu, pengumpulan data daripada lapangan dapat dijalankan dengan lebih berkesan, cepat dan tepat.

-- BERNAMA