Perkara-perkara dasar yang ditentukan pentadbiran sebelum ini tidak wajar dirombak sewenang-wenangnya.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata ini kerana dasar yang dibuat telah mengambilkira kepentingan semua rakyat.

"Parti mana yang menjadi kerajaan, harus kembali kepada Perlembagaan.

"Perkara-perkara yang termaktub dalam Perlembangaan tidak boleh sewenang-wenangnya dirombak," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Ahmad Zahid diminta memberi respon kepada keputusan Kerajaan untuk meneliti semula dasar-dasar utama negara termasuk Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Model Ekonomi Baru (NEM) bagi melihat sama ada dasar itu masih relevan.

BACA: Kerajaan teliti semula DEB, NEM

Menurut Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, ia juga selaras dengan aspirasi Malaysia baharu dalam memastikan pertumbuhan ekonomi negara mampan serta dapat menjamin pengagihan yang adil.

Susulan itu, kementerian berkenaan menjelaskan bahawa dasar baharu yang lebih responsif kepada aspirasi rakyat akan digubal berdasarkan keperluan dan hala tuju pembangunan sosioekonomi negara.

Kementerian itu berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan William Leong Jee Keen (PH-Selayang) di Dewan Rakyat, yang bertanya mengenai Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11), sama ada kerajaan akan mengkaji semula dasar-dasar utama dan rancangan pembangunan ekonomi yang ada seperti DEB dan NEM.

Menurut jawapan yang diedarkan kepada pemberita di Parlimen pada Isnin, kementerian itu menyatakan susulan perubahan kerajaan pada 10 Mei lalu selepas Pilihan Raya Umum ke-14, penyediaan dokumen KSP RMK11 telah dijajarkan semula dengan hala tuju baharu dan aspirasi kerajaan Pakatan Harapan.