Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri menzahirkan kebimbangan beliau jika mengemis bakal digelar sebagai kerjaya sumber mata pencarian.

Jelas Zulkifli, setiap individu yang mempunyai tubuh badan yang sihat dan mampu bekerja adalah harus untuk bekerja berdasarkan hadith Nabi Muhammad SAW.

"Hendaklah seorang daripada kamu mengambil seutas tali, membawa kapak, menebang kayu lalu mengumpulkannya dan pergi ke pasar dan menjual untuk menyara keluarga dan kehidupannya. Itu jauh memberi kesan dalam kehidupannya," ujar Zulkifli.

Zulkifli mengulas pertanyaan Astro AWANI yang memfokuskan isu berkenaan lambakan pengemis pada bulan Ramadan.

Menurut beliau, bersedekah amat digalakkan dalam Islam terutama pada bulan Ramadan.

BACA: Jangan terkejut kalau si pemilik kereta mewah itu seorang pengemis!

Namun, apa yang menjadi persoalan adakah sumbangan yang diberi bakal diterima oleh tangan yang berhak?

Jelas Zulkifli, adalah digalakkan untuk menyalurkan sumbangan kepada pihak yang berhak serta yang mengikut saluran yang betul.

"Bersedekah kepada tangan yang berhak dan mengiktu saluran yang sebenarnya... yang berhak dan diberi kuasa seperti Baitumal, hatta termasuk PPZ (Pusat Pungutan Zakat).

"Maka sudah tentu akan memberi banyak kebaikan-kebaikan (kepada pemberi)," katanya.

Malah tegas Zulkifli, orang ramai perlu sedar bahawa tujuan memberi sedekah itu bukan hanya semata-mata untuk bersedekah.

Sebaliknya, pastikan sedekah itu bakal memberi manfaat kepada pihak yang berhak.

"Kita mesti menyedari bahawa bukan semata-mata matlamat untuk bersedekah, tetapi matlamat yang jauh juga...penting kita lihat kesan daripada sedekah tersebut.

"Dengan kita bagi kepada orang yang berhak, maka kesannya adalah baik tetapi jika sekiranya kita bagi kepada orang yang tidak berhak, maka kesannya amat sedikit," jelas Zulkifli.

Dari segi penguatkuasaan pula, Zulkifli menggesa badan berwajib memikirkan satu mekanisma lain dalam menangani isu-isu yang mungkin akan timbul.

"Alhamdulillah, sedikikt sebanyak sudah ada penguatkuasaan, tapi cuma mungkin perlu ada kerjasama dari pelbagai pihak untuk laporan dan juga untuk tindakan-tindakan," katanya.

Ditanya sama ada afdal atau tidak memberi sedekah terus ke rumah anak yatim mahupun badan yang memerlukan, Zulkifli berkata saluran kepada Baitulmal dan PPZ adalah lebih digalakkan.

"Patutnya kita bagi kepada Baitulmal atau PPZ kerana ia diberi kuasa dan bertanggungjawab untuk perkara itu (penyaluran bantuan).

"Selebih daripada itu seperti sedekah ataupun untuk infak maka kita ada kebebasan sama ada kita nak bagi kepada badan-badan tertentu. Cuma pastikan badan itu badan yang layak untuk dibahagi dan benar-benar wujud," katanya.