Exco Kesihatan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar meminta semua pihak agar tidak menyebarkan sebarang maklumat tidak sahih berhubung kematian wanita di Pasir Gudang, Sabtu lalu.

Jelasnya, tindakan itu hanya mengakibatkan penduduk di daerah itu cemas sekali gus tidak membantu menyelesaikan isu terbabit.

"Saya ingin memaklumkan setiap mereka yang terlbat harus peka dan dapatkan maklumat sahih berhubung isu ini. Sekali keluar isu ini menyebabkan masyarakat tertanya tanya.

"Sebelum ini beberapa banyak pertemuan pihak kerajaan telah memaklumkan bahawa gas "methyl mercaptan" adalah bahan ringan berbanding di gas dalam kejadian di Sungai Kim Kim," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Ahad.

BACA: Kematian di Pasir Gudang akibat masalah jantung, bukan pencemaran udara - KKM

Mengulas mengenai keluarga mangsa, Mohd Khuzzan menjelaskan, pihaknya akan melawat mereka minggu ini.

Selain itu, beliau turut mengucapkan takziah dan bersimpati akan kejadian yang menimpa mangsa dan keluarga.

Isu kematian mangsa dikenali sebagai Marini Kasman, 38 tahun tular di laman sosial dikaitkan dengan pencemaran udara di Pasir Gudang.

Bagaimanapun Kementerian Kesihatan mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat masalah jantung dan menghidap penyakit kronik serta darah tinggi.

Mangsa dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) pada 5 Julai akibat kesukaran bernafas, demam, dan batuk selama tiga hari serta mengalami bengkak di bahagian kaki.