Polis hari ini memberi amaran kepada individu atau pihak yang berhasrat menganjurkan perhimpunan haram bagi membantah pelantikan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-8.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata tindakan tegas menanti mereka yang terlibat menganjur atau menyertai sebarang perhimpunan haram.

“Perhimpunan haramlah sebab dia buat secara tiba-tiba, tidak minta notis dan ikut prosedur, saya nasihatkan jangan masyarakat sertai perhimpunan ini.

“Pihak yang menganjurkan akan dikenakan tindakan undang-undang sekiranya melaksanakannya,” katanya kepada Astro AWANI.

Mengulas lanjut, beliau turut menasihati orang ramai agar menghormati keputusan yang telah dibuat Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melantik Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

[LAPOR LANGSUNG] MY2020 Muhyiddin PM-8


Sejurus pengumuman pelantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, tular di media sosial beberapa individu menyeru untuk mengadakan perhimpunan di ibu negara.

“Nasihat saya tidak perlu buatlah, pasal kita telah ikut proses demokrasi dan Perdana Menteri pun dah dipilih oleh Yang di-Pertuan Agong.

"Pihak polis sentiasa bersedia dalam apa jua keadaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan.

“Oleh itu, saya mintalah jangan kita turun kerana ia akan mengancam keselamatan negara kita,” jelas Mazlan.