Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan rakyat agar berpegang kepada prinsip kesetiaan kepada pentadbiran kerajaan yang lebih baik.

Jelasnya, meskipun negara mengamalkan prinsip demokrasi tetapi negara ini milik rakyat dan bukannya milik pemimpin mahupun parti politik.

Tun Dr Mahathir turut mengingatkan bahawa nilai kesetiaan perlu diterapkan jika melihat kepada kerajaan yang baik demi kesejahteraan rakyat.

''Walaupun mempunyai pemimpin yang baik, tetapi yang lebih utama ialah negara kita. Hanya kita boleh setia kepada sesiapa sama ada parti atau pemimpin setakat dia nya bekerja menjalankan tugas yang menguntungkan memberi kebahagian kepada negara kita.

''Negara lebih utama daripada lain-lain kesetiaan. Kita dilahir di negara kita di sini, kita membesar di sini, berkahwin dan mendapat zuriat di sini yang akan mengganti kita selepas kita pergi.

"Tetapi dalam menjalankan tugas, kita perlu ingat yang memberi nikmat kepada kita adalah negara kita,'' katanya pada perjumpaan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri pada pagi Isnin.

Jelasnya, sejak merdeka, pelbagai rintangan terpaksa dihadapi ketika proses pembangunan negara berjalan.

Namun Malaysia ujar Tun M masih aman dan dapat ditadbir dengan baik.

Malah perubahan berjaya diterjemahkan oleh rakyat menerusi pertukaran tampuk pemerintahan yang bertahan lama sejak 61 tahun lalu.

Justeru, ketaatan rakyat perlu diterbitkan kepada negara, bukan berpaksi kepada pemimpin mahupun parti politik.

"Sekiranya ini satu perubahan berlaku sejak merdeka kita tidak pernah tukar kerajaan. Parti itu memerintah 61 tahun tapi rakyat memilih tukar kerajaan.

''Timbul rasa tidak senang sebab kita dah setia 61 tahun tapi beri kesetiaan kepada kerajaan yang dahulunya musuh kepada kerajaan terdahulu.

"Yang utama kesejahteraan negara. Kalau pemerintahan baharu ini berusaha memajukan negara dan kita akan dapat nikmat, maka kesetiaan perlu diberi kepada negara," katanya lagi.