Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi amaran untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba menyorokkan bekalan barangan keperluan semasa musim tengkujuh.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pihaknya sentiasa memantau isu berkenaan bagi mengelakkan berlakunya ekploitasi atau kenaikan harga makanan dan keperluan lain secara melampau.

"Jika berlakunya aktiviti ini (menyorokkan bekalan) yang mana peniaga mahu kaut untung berlebihan atas musibah (tengkujuh) yang berlaku, mereka tidak akan terlepas daripada tindakan.

"Setakat ini, keadaan masih terkawal dan tiada laporan yang diterima berkaitan isu ini. Kesemua barangan keperluan adalah mencukupi," katanya dalam satu sidang media selepas melancarkan kad 'Aeon member Plus Visa' dan aplikasi 'Aeon Wallet' di pusat membeli-belah Aeon Shah Alam, di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Saifuddin Nasution turut menegaskan bahawa bekalan makanan utama rakyat adalah mencukupi sama ada pada musim tengkujuh mahupun sebarang sambutan perayaan.

Beliau berkata isu berkaitan kecukupan bekalan barangan keperluan membabitkan tanggungjawab pelbagai zon di semua kementerian termasuk KPDNHEP demi menjaga kebajikan rakyat.

-- BERNAMA