Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah hari ini bertitah agar tindakan adaptasi dan mitigasi perlu dirintis serta dilaksanakan secara serius demi menjamin kelestarian alam sekitar.

Prihatin terhadap ancaman perubahan iklim dan pemanasan global yang dihadapi dunia ketika ini, baginda bertitah setiap minit tertangguhnya usaha menangani isu alam sekitar akan meningkatkan ancaman terhadap kehidupan, kesihatan serta masa hadapan alam.

Baginda bertitah perubahan iklim dan pemanasan global berlaku akibat daripada pembangunan fizikal yang dilaksanakan secara tidak seimbang hingga ke peringkat yang tidak lagi dapat memelihara kelestarian alam sekitar.

"Keadaan bertambah meruncing dengan berlakunya pelbagai projek pembangunan yang melibatkan kawasan tanah gambut, pembalakan tidak terkawal, pembakaran berskala besar," titah baginda ketika merasmikan sambutan Hari Landskap Negara peringkat negeri Perak di Laman Budaya Kuala Kangsar di sini, hari ini.

Sultan Nazrin bertitah, kesungguhan China, India dan Ethiopia dalam menjaga kelestarian alam sekitar termasuk penanaman pokok secara giat hendaklah dijadikan teladan kerana pokok berperanan membantu membendung perubahan iklim dan pemanasan global, melindungi sumber air, meminimumkan hakisan tanah, mengawal banjir serta menapis dan meningkatkan kualiti udara.

"Tanpa pokok tidak akan adanya hutan. Tanpa pokok dan hutan akan hilang segala manfaat rimba raya, berkurang spesies tumbuhan dan haiwan, rosak habitat semula jadi, terputus sistem rantaian makanan dan terancam kehidupan manusia," titah Sultan Perak.

Baginda turut menarik perhatian mengenai budaya orang Melayu terutamanya di desa satu ketika dahulu yang menanam sebatang pokok menandakan kelahiran seorang bayi, sama ada pokok pisang, pinang atau buah-buahan.

Baginda bertitah amalan itu tanpa disedari telah menyeimbangkan sistem ekologi secara semula jadi kerana manusia menyedut oksigen dan melepaskan karbon dioksida, sementara pokok menyerap karbon dioksida dan mengeluarkan oksigen.

Dalam pada itu, Sultan Nazrin turut memuji komitmen Tenaga Nasional Berhad (TNB) mempromosikan program melestarikan alam sekitar dengan menanam 633 pokok sekitar kawasan Majlis Daerah Kuala Kangsar sejak dua bulan lepas dan bertitah agar ia dijadikan ikutan oleh pelbagai pihak termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

"Bermula daripada 633 pokok yang ditanam pada Januari 2020, semoga dapat mencecah angka 10,000 pokok di Kuala Kangsar dan mencecah 100,000 pokok di seluruh negeri pada Januari 2021.

"Merimbunkan kehijauan di Bandar Diraja ini dan menghijaukan seluruh negeri Perak Darul Ridzuan hendaklah menjadi tanggungjawab kita bersama, " titah baginda. -BERNAMA