Malindo Air mengingatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan skim penipuan pengambilan pekerja anak kapal yang menggunakan nama syarikat penerbangan itu tanpa kebenaran.

Malindo Air dalam satu kenyataan hari ini berkata syarikat penerbangan itu tidak terlibat dengan mana-mana agensi luar untuk sebarang pengambilan pekerja.

"Syarikat penerbangan Malindo Air tidak akan bertanggungjawab atas segala aktiviti yang telah dijalankan menerusi sindiket penipuan tersebut.

"Segala notis daripada pihak Malindo Air adalah menerusi laman web dan laman sosial rasmi penerbangan," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, skim penipuan tersebut disebarkan menerusi laman sosial dan menawarkan pengambilan kerja sebagai anak kapal dengan mengenakan pembayaran pendahuluan sebanyak RM50 bagi setiap individu.

Skim penipuan itu turut menawarkan pengecualian pembayaran pendahuluan jika individu tersebut dapat menarik empat orang untuk menyertai pengambilan tersebut.

Sebarang pertanyaan atau aduan mengenai sindiket penipuan pekerjaan boleh dikemukakan melalui laman web Malindo Air di www.malindoair.com, Twitter (https://twitter.com/malindoair) dan Facebook (facebook.com/MalindoAirMalaysia).

--BERNAMA