TULAR di laman sosial sejak semalam seorang warga emas yang dikatakan ditemui di SS19/1 Subang Jaya.

Dalam hantaran di laman Facebook dan aplikasi WhatsApp, lelaki itu dikatakan ingin ke rumah anaknya di Kuala Lumpur namun tidak ingat nama dan alamat rumah anaknya itu.

Pemilik akaun laman sosial dalam hantaran yang disebarkan juga mengatakan lelaki tersebut masih berada di Balai Polis Subang Jaya.

"Pak cik ni dijumpai di Subang Jaya SS19/1. Dia nak pergi rumah anaknya di KL tapi tak ingat nama dan mana anaknya duduk. Sekarang berada di balai polis SS17 Subang Jaya lagi. Kesian (kasihan) rindu anak dan cuculah tu," katanya dalam hantaran yang tersebar dalam akaun laman sosial itu.

Bagaimanapun Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, mesej yang tular dalam kalangan media elektronik itu tidak benar.

Menurutnya, selain berita tersebut tidak benar, imej lelaki dalam gambar tersebar juga tidak dikenali.

"Berita tersebar itu tak betul malah lelaki dalam gambar juga tidak diketahui siapa," katanya menerusi aplikasi WhatsApp, sebentar tadi.