Kes jangkitan selsema burung atau H5N1 di Kelantan bertambah baik dengan tiada kawasan baharu dikesan terjejas dengannya sepanjang tujuh hari lalu.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata sehingga hari ini jangkitan kekal melibatkan enam jajahan membabitkan 28 buah kampung direkodkan dengan tiada jangkitan ke atas manusia dilaporkan.

Walau bagaimanapun, jumlah unggas yang dilupuskan bagi langkah pencegahan terus meningkat kepada lebih 37,000, termasuk hampir 16,000 biji telur.

Kelantan akan diisytihar kawasan bebas H5N1 sekiranya tiada jangkitan baharu dalam tempoh 60 hari selepas pelupusan unggas terakhir dilakukan.

“Sehingga sekarang, lebih daripada 1,600 kenderaan diperiksa, dan 12 rampasan dibuat yang melibatkan 89 unggas.

“Ini menunjukkan betapa serius pihak kerajaan untuk bukan sahaja membendung penyakit ini di Kelantan, (malah) di tempat lain di negara kita.

“Tetapi yang penting adalah nama baik negara, kerana ayam kita eksport ke Singapura dan negara lain. Eksport sarang burung walit juga akan terjejas jika kita tak membendungnya.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Orkid dan Flora 2017 disini malam tadi, beliau memaklumkan sejumlah 1657 buah kenderaan diperiksa di empat lokasi sekatan jalan raya melibatkan rampasan 89 ekor unggas.

Sekatan jalan raya yang diadakan di empat pintu masuk negeri ini, bertujuan untuk mengelakkan unggas dari kawasan jangkitan, dibawa keluar.

Ahmad Shabery berkata, penularan jangkitan H5N1 perlu ditangani dengan segera bagi mengelakkan eskport negara melibatkan unggas seperti ayam dan sarang burung walit dari terjejas.