Janin lelaki berusia empat bulan ditemui tersangkut pada jeriji penahan sampah di loji kumbahan Indah Water Konsortium (IWK), Bandar Perai Jaya, Perai, Pulau Pinang, pada Rabu

Janin itu ditemui oleh seorang pekerja syarikat tersebut kira-kira jam 11.45 pagi ketika sedang melakukan kerja-kerja pembersihan di loji berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, pihaknya menjalankan siasatan di lokasi kejadian sebaik sahaja menerima panggilan daripada pekerja loji yang memaklumkan mengenai penemuan janin tersebut.

Janin yang masih belum dikenal pasti identitinya itu kemudian dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat.

Nik Ros Azhan berkata, tiada sistem rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan kejadian.

Sehubungan itu, usaha mengesan suspek yang bertanggungjawab membuang janin itu giat dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

Pada masa yang sama, beliau menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat agar menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.