Nasib empat beradik bersama ibunya yang tinggal di bangsal usang yang pernah didedahkan Astro AWANI sebelum ini pada awalnya bakal berubah dengan janji pihak tertentu untuk membina rumah untuk mereka sekeluarga.

Namun selepas empat bulan, bangsal usang berdindingkan kain, beratapkan zink itu tetap menjadi tempat berlindung mereka sekeluarga sementara rumah yang dijanjikan kini hanya siap sehingga dinding.

Dinding rumah

Menurut, Sharifah Natasha Syed Fairuz, 15 tahun, anak sulung kepada Nor Muhibbah Abdullah, mereka sekeluarga agak kecewa kerana masih berbuka dan bersahur di bangsal usang itu.

“Harapan saya nak rumah baru biar raya ini dapat duduk dengan tenang, biar air hujan tak masuk, haiwan bebrisa tak masuk.Mereka cakap dulu, dalam sebulan siap tapi sampai sekarang belum siap seperti dijanjikan.

''Memang saya sedih, sudah hampir empat bulan. Sekarang sudah hampir hari raya dan kawan-kawan nak datang pun tak boleh sebab sempit,'' katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Sharifah Natasha, bersama adik-adiknya Sharifah Shuhada, 14 tahun, Syed Harris, 12 tahun, Syed Amir, 11 tinggal bersama ibu mereka yang merupakan satu-satunya tempat bergantung selepas kematian bapa dua tahun lalu.

Menurut Nor Muhibbah, pada akhir Januari lepas, kerja- kerja membersih tapak rumah lama peninggalan orang tuanya dimulakan.

Rumah berkenaan disumbangkan Pas kawasan Dewan Undangan Negeri Panchor dan pembinaannya bermula akhir Januari lalu.

Bagaimanapun Setiausaha Majlis Tindakan DUN Panchor, yang hanya mahu dikenali sebagai Solah ketika dihubungi Astro AWANI berkata, pembinaan rumah itu akan disambung dalam tempoh dua hari.

Katanya, pembinaan sebelum ini terhenti bagi memberi tumpuan kepada pilihan raya.

Sebelum ini kisah mereka mendapat perhatian selepas Astro AWANI menyiarkan penderitaan mereka yang tinggal di bangsal berkenaan sejak lebih dua tahun lalu.

Susulan pendedahan yang dibuat, ramai pihak bersimpati dan ingin membantu.

Keluarga Nur Muhibbah ditemui sewaktu kunjungan Kelab Media Kelantan Darul Naim, Hotel GRV dan KCTV sempena program Kita Kongsi bagi mendekati golongan memerlukan.