Seorang kanak-kanak lelaki tersepit jari telunjuknya pada spanar ketika sedang membaiki basikal di rumahnya di Kulim, Kedah.

Dalam kejadian selepas waktu sahur itu, mangsa yang berusia sembilan tahun itu dikatakan terpaksa menahan kesakitan hampir empat jam selepas ibu bapanya gagal mengeluarkan jari yang tersepit.

Mangsa kemudian dibawa ke Balai Bomba dan Penyelamat Kulim Hi-Tech jam 10.04 pagi tadi untuk mendapatkan bantuan.

Ketua Balai Bomba Kulim Hi-Tech, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Azizi Abdullah berkata pihaknya mengambil masa tiga minit untuk mengeluarkan jari mangsa yang tersepit.

Katanya, alat pemotong besi digunakan bagi memotong spanar tersebut.

Jari mangsa yang berjaya dikeluarkan hanya mengalami sedikit kesan calar, katanya lagi.